ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, September 12, 2009

NATIJAH DARI FAHAM KEBANGSAAN

NATIJAH DARI FAHAM KEBANGSAAN


Sebenarnya teori kemasyarakatan yang mempengaruhi alam dipermulaan abad dua puluh adalah teori kebangsaan. Manusia tidak terfikir adanya satu bentuk penghidupan atau masyarakat dunia ini selain dari cara di mana setiap bangsa itu bebas dan merdeka dari pengaruh bangsa-bangsa lain. Di sini manusia akan berusaha keras serta meletakkan bangsa-bangsa lain ke satu martabat yang lebih rendah darinya. Seterusnya manusia akan berusaha segenap tenaga dan hartanya untuk meletakkan bangsanya lebih tinggi dari bangsa lain secara mutlak. Sudah menjadi satu kepercayaan kepada manusia dewasa ini bahawa kemuncak hidup bermasyarakat ialah adanya satu pemerintahan kebangsaan yang berdaulat. Kepercayaan ini telah mengambil alih akidah kepercayaan kepada Tuhan.

Akibat dari fahaman dan amalan ini, dunia telah mengalami kerugian yang parah dalam peperangan dunia pertama. Api semangat ini telah memusnahkan dunia pada tahun 1914 di mana mereka yang bersemangat kebangsaan telah bangun berjuang untuk menegakkan kebangsaan dengan menolak yang lain dengan penuh keyakinan bahawa usaha ini adalah semulia-mulia pencapaian hidup manusia.Negara kebangsaan telah menjadi sesembahan dan Tuhan mereka.

Sebagai natijah dari fahaman ini, bangsa-bangsa di dunia mula mengamalkan sikap keras terhadap bangsa-bangsa lain di luar sempadan yang memalukan sehingga mencapai tahap seperti binatang buas. Dalam perang dunia pertama, yang berlarutan dari 1914 hingga 1918, kota-kota habis dimusnahkan, negara-negara habis dirosakkan, resam-resam tamadun serta budaya manusia habis dipijak-pijak. Setelah manusia menanggung risiko pengalaman semangat kebangsaan dan bila dunia mengalami kepahitan akibat dari semangat kebangsaan ini, dunia mula memikirkan satu idea tentang kesatuan umat dan kesejahteraan iaitu setiap bangsa sewajarnya melucutkan kekuasaan mutlaknya. Di masa yang sama mestilah ditegakkan satu lembaga kekuasaan pusat untuk mengendalikan sekatan peperangan antara kaum dan bangsa, seterusnya mewujudkan semangat bersama dan persefahaman antara satu sama lain. Untuk mencapai matalamat ini maka lahirlah ikatan bangsa-bangsa, tetapi ikatan ini terbukti gagal dan cacat sejak kelahirannya. Ini sinonim dengan pendapat Iqbal,"perompak-perompak kubur menubuhkan persatuan mereka, untuk membahagikan kubur sesama mereka."

Ini kerana anggota ikatan ini mula membahagi-bahagikan negara-negara di dunia ini. Matalamat kelahiran ikatan bangsa-bangsa itu sebenarnya ditubuhkan dengan niat dan perancangan jahat untuk menguasai bangsa-bangsa yang dhaif serta kecil. Anggota ikatan tadi telah meletakkan negara-negara kecil di bawah jajahannya mengikut istilah-istilah yang dilaung-laungkan tetapi semuanya bertujuan untuk menakluk dan memperhambakan negara-negara dhaif itu. Ini bererti supaya tidak berlaku serangan ke atas negara-negara kecil itu. Sebenarnya ikatan bangsa-bangsa bersatu telah bekerja sebagai pembahagi bangsa-bangsa kecil untuk dijadikan hadiah kepada bangsa-bangsa besar. Berdasarkan logik inilah idea menjadikan Palestin sebagai bumi kebangsaan Yahudi. Kerja-kerja mengumpul dan menghimpun orang-orang Yahudi di seluruh pelusuk dunia berjalan dengan lancar kepada satu bumi yang satu hari pun tidak pernah kosong dari penghuninya. Malah bumi Palestin sentiasa didiami dan dibangunkan oleh penduduk-penduduk Arab sejak zaman silam lagi. Inilah jalan dan cara yang diteruskan oleh ikatan bangsa-bangsa bersatu itu, bagi menjamin tidak berlakunya pertembungan sesama kuasa besar. Ikatan ini sebenarnya merupakan satu pakatan menindas bangsa-bangsa kecil.

Seolah-olah manusia tidak dapat mengambil sebarang pelajaran dan pengalaman –pengalaman pahit yang dirasakan sepanjang perang dunia pertama itu. Malah penyelesaian-penyelesaian yang dikemukakan oleh ahli-ahli cerdik pandai dan ahli fikir seolah-olah mengambil pengalaman pahit itu untuk menyesatkan dan memperdaya umat manusia ini lebih jauh lagi.

Penyokong-penyokong faham kebangsaan telah membuat demonstrasi bahawa mereka tidak bertujuan apa-apa selain dari menyatu-padukan umat manusia. Sedangkan teori nasionalisme dan sesuatu yang bersumber darinya adalah merupakan natijah yang tabi’i kepada teori ini samada merupakan perseteruan atau perluasan empayar. Sebenarnya perasaan ini sudah menguasai akal fikiran mereka. Oleh itu perancangan politik mereka berkisar di sekitar matalamat ini. Sebenarnya inilah matalamat sebenar mereka.

Tujuan nekad mereka adalah untuk merampas, menyamun dan menguasai hak bangsa-bangsa kerdil ini berlarutan sepanjang tahun di bawah slogan keamanan, kedamaian , dan kesejahteraan alam sejagat. Dalam tempuh ini mereka telah berjaya menabur bibit-bibit perpecahan dan fitnah di seluruh pelusuk dunia. Di masa yang sama mereka melengkapkan diri mereka dengan pelbagai senjata peperangan yang tiada tandingnya dalam sejarah umat manusia. Sebagai implikasinya, meletuslah peperangan dunia kedua yang lebih parah dan merbahaya dari perang dunia pertama dahulu. Jutaan manusia menemui ajal mereka. Negeri-negeri menjadi ranap. Bangsa-bangsa terhalau dari negeri sendiri. Bahagian-bahagian negeri-negeri bertukar menjadi khemah tawanan perang dan manusia bertukar menjadi binatang buas, ganas serta zalim terhadap sesama manusia, sampai ke peringkat memalukan binatang liar sendiri.


Selepas perang dunia kedua, kini sekali lagi manusia mengalami kecelakaan akibat semangat kebangsaan yang diidam-idamkan dengan keadilan dan suasana sejagat, maka ditubuhkanlah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mencapai matalamat ini serta menggariskan sifat-sifat asas manusia, Seterusnya dibentuk pula majlis keselamatan untuk mengendalikan keselamatan dunia. Sebagaimana yang kita tahu, bahawa hakikat keselamatan dunia yang dipropagandakan oleh badan ini sebenarnya menjadi bahan ketawa monyet di rimba sahaja. Sebagai contoh semasa pencorobohan Pakistan oleh India beberapa ketika dahulu, mereka menganggap ianya sebagai masalah Kashmir. Perkara yang sama juga berlaku ke atas Palestin di mana rakyat Palestin dihalau keluar dari negara mereka sendiri. Ianya berlaku di depan mata majlis keselamatan itu. Kemudian bumi Palestin ditempatkan oang-orang yang di bawa dari seluruh pelusuk dunia Demikian juga dengan halnya umat Turki di Cyprus di mana kini mereka diancam kepupusan, sebagaimana alam mengalami masalah yang sama di Rodesia, Angola, Afrika Selatan, Vietnam dan tempat-tempat lain ( seperti kini di Iraq dan Afghanistan-alkundangi). Namun majlis keselamatan menonton sahaja gelagat dunia yang sedang terjadi.

Maka sehubungan dengan hak lembaga asasi manusia, perkara yang berlaku ialah di mana tiada satu pun umat yang mengisytiharkan pegangannya dan kanun masing-masing hingga ke hari ini. Tidak ada sebuah negara pun yang mahu memberi tempat yang sewajarnya kepada tamadun tadi dalam kanun dan perlembagaannya. Malah hingga kini tidak wujud satu badan pun yang boleh dirujuk dengan soal-soal pencerobohan ke atas hak-hak asasi individu, kelompok atau bangsa.


Oleh: Syed Abul ‘Ala AlMaududi.
Disunting oleh AlKundangi dari kitab:
Wahdatul ‘Alami Islamiyyah,
11.9.2009
http://alkundangi.blogspot.com

No comments: