ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Wednesday, November 25, 2009

PERMOHONAN SPR DITOLAK

Permohonan SPR ditolak

Oleh Azrina Ahzan dan Mohamed Farid Noh


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam, menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah itu pada 16 November lalu, yang mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Kedah, sebagai kosong.

Berikutan itu, mahkamah mengekalkan keputusannya sebelum ini supaya pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh writ pilihan raya difailkan selewat-lewatnya Rabu ini.

SPR dalam reaksi serta merta mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan Putrajaya, petang semalam, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan mahkamah itu.




Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dalam menolak permohonan SPR dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sharif, berkata tiada alasan istimewa dan konklusif dikemukakan kedua-dua responden dalam permohonan penangguhan mereka.

Alizatul berkata, tindakan SPR mengumumkan Abu Hassan masih kekal sebagai wakil rakyat Kota Siputeh walaupun tidak hadir dua kali berturut-turut pada persidangan DUN Kedah, adalah tidak wajar.

"Walaupun saya bersetuju dengan hujah Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan yang berlaku secara kebetulan, namun SPR tidak boleh mengatasi kuasa Speaker dalam Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah.

"Perkara 51 menggariskan dengan jelas syarat yang menyebabkan kerusi responden pertama (Abu Hassan) menjadi kosong, iaitu mana-mana Adun yang tidak hadir persidangan dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker DUN, hendaklah mengosongkan kerusinya, oleh itu mahkamah mendapati ia menepati syarat.

"Mahkamah juga tidak bersetuju dengan hujah responden yang menyatakan jika permohonan penangguhan mereka ditolak, ia akan membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil yang membabitkan perbelanjaan yang banyak... kerana adalah menjadi tanggungjawab dan tugas SPR untuk mengadakan pilihan raya jika kekosongan berlaku.

"Kedua-dua responden juga mendakwa jika permohonan penangguhan ditolak akan wujud keadaan khas di mana DUN Kota Seputeh berkemungkinan mempunyai dua wakil rakyat, seolah-olah prejudis terhadap Abu Hassan," katanya.

Alizatul berkata, perkara itu tidak menjadi persoalan kerana mahkamah yang akhirnya mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan sama ada sesuatu pilihan raya itu sah atau tidak.

Pada prosiding itu, Kamaluddin mewakili SPR, Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Abu Hassan manakala Sulaiman Abdullah mewakili Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Pada 16 November lalu, Alizatul mengisytiharkan kerusi DUN Seputeh kosong dan Abu Hassan bukan lagi wakil rakyatnya.

Berikutan itu, SPR dan Abu Hassan memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusannya.

http://wwww.bharian.com.my
24.11.2009.

Di PUTRAJAYA, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pihaknya sudah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan, petang semalam.

"Sama ada writ pilihan raya bagi DUN Kota Siputeh perlu dikeluarkan oleh SPR bergantung kepada keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan, esok (hari ini).

"Jika Mahkamah Rayuan menolak rayuan kita, writ pilihan raya akan dikeluarkan selewat-lewatnya Rabu ini (esok)," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam pada itu, Umno juga mengumumkan akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan, hari ini.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, berkata Hafarizam akan mengemukakan rayuan itu.

"Saya baru menghubungi beliau tadi dan sama ada Mahkamah Rayuan boleh membuat keputusan itu esok (hari ini) atau tidak, itu adalah sesuatu yang menarik kerana apa-apa pun SPR perlu membuat keputusan (tarikh pilihan raya, tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian) Rabu ini (esok)," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

http://wwww.bharian.com.my
24.11.2009

No comments: