ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, December 1, 2009

PULAU PINANG AKAN TIMBANG IKUT LANGKAH SELANGOR HARAMKAN KURSUS BTN

P.Pinang Akan Timbang Ikut Langkah Selangor Haramkan Kursus BTN



BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menimbangkan secara serius untuk mengikuti jejak langkah kerajaan negeri Selangor mengharamkan kursus Biro Tata Negara (BTN) kepada kakitangannya.

Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman berkata kerajaan negeri memandang serius cadangan anggota Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yussof bagi kerajaan negeri mengikuti langkah Selangor.

Usul cadangan itu dijangka dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri esok untuk kelulusan, kata Mansor yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan perdana Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang di Yayasan Aman, di sini hari ini.

Beberapa hari lalu, Yusmadi mencadangkan supaya kerajaan negeri mencontohi Selangor berhubung isu BTN dan mengulangi cadangan itu pada perhimpunan hari ini.

Sementara itu, Ketua AMK Pusat Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, sebuah sekretariat yang diketuai oleh Yusmadi akan ditubuhkan untuk mengumpulkan pandangan rakyat mengenai BTN, yang didakwa mengindoktrinasikan ideologi Barisan Nasional (BN).

Katanya, orang ramai yang mempunyai pengalaman dan pandangan mengenai BTN boleh mengemukakannya kepada sekretariat itu.

"Kita akan buat referendum mengenai perkara ini," katanya.

Terdahulu, Shamsul mengumumkan pelantikan barisan baru kepimpinan AMK Pulau Pinang.

Ketua AMK Permatang Pauh Amir Ghazali dilantik sebagai ketua AMK negeri yang baru menggantikan Yusmadi manakala Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Jerejak, Sim Tze Tzin sebagai timbalannya.

Ahmad Azrizal Tahir, Ong Chin Wen dan M.Muneswaran pula masingmasing dilantik sebagai Naib Ketua 1, 2 dan 3 manakala Syed Mikael Rizal Aidid sebagai setiausaha dan Philip Thor sebagai bendahari. BERNAMA

1.12.2009

No comments: