IDEA LUAR PATUT DIKETENGAH BAGI WUJUD PENDAPAT BERBEZA
Oleh Mior Kamarul Shahid
PERTUMBUHAN ekonomi 9.5 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan keyakinan semula terhadap ekonomi negara. Ini berasaskan kepada peningkatan berterusan permintaan domestik dan eksport sektor perkilangan. Analisis mudah ialah keluaran negara termasuk barang-barang yang dihasilkan di kilang-kilang di negara ini mendapat permintaan besar di luar negara. Sudah tentulah ia adalah hasil usaha bersungguh-sungguh kerajaan serta pelbagai pihak untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat krisis kewangan global sejak beberapa tahun lalu. Walaupun perkembangan ini baik untuk negara dan rakyat, tidak semestinya ia mendapat sokongan seluruh rakyat. Awal-awal lagi sudah ada pihak yang menganggap ia tidak menguntungkan mereka. Ada pihak yang semata-mata melihat perkembangan ini secara negatif atas dasar memenuhi hak dan kebebasan untuk mereka memberi pendapat. Sama ada pendapat mereka benar atau salah adalah tidak penting. Memberi pendapat adalah percuma. Cuma, ada pendapat yang memerlukan kos jika ia berunsur hasutan dan fitnah yang boleh dikenakan tindakan mahkamah atau ditangkap jika menjejaskan ketenteraman awam. Dalam politik, pendapat adalah modal penting untuk mempengaruhi pengundi.
Dalam dunia yang serba bebas dan diiktiraf sebagai perkampungan sejagat, kepelbagaian pendapat tidak dapat dielakkan. Sebaik saja tercetusnya sesuatu isu, pelbagai pendapat tersebar luas. Lebih berkuasa orang yang memberi sesuatu pendapat, lebih banyaklah pendapat baru yang tersebar. Bila Presiden Barack Obama menyatakan bahawa beliau menyokong pembinaan masjid berhampiran tapak serangan pengganas di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001, ramai pihak yang memberi pendapat – sama ada menyokong, menentang atau berkecuali. Pendapat mereka didengar dan dibaca di mana-mana di seluruh dunia. Orang ramai suka membaca pendapat begini kerana unsur konfliknya. Itulah sebabnya ramai yang suka membaca laman blog kerana setiap penulisnya menyampaikan pendapat mengenai pelbagai isu yang dianggap menarik oleh penulisnya. Adalah diakui bahawa kepelbagaian pendapat bukanlah suatu isu atau masalah. Dalam sebuah keluarga pun, wujud perbezaan pendapat, inikan pula dalam sebuah negara atau dunia yang didiami pelbagai kaum, agama, jantina, usia, status sosial, tahap pendidikan dan sebagainya. Perbezaan pendapat menimbulkan konflik. Konflik terus melebar bila diadun dan ditokok tambah dengan perbezaan kepercayaan dan ideologi. Hari ini masyarakat bebas mengemukakan pendapat yang datangnya dari pelbagai sudut dan sumber. Jika pendapat itu mempunyai kepentingan umum, lebih ramailah orang yang akan berkongsi mengenainya. Pendapat yang berbeza ini dibincang dan didebatkan berasaskan saluran masing-masing dari kedai kopi, pejabat, laman web, blog, majlis politik hinggalah ke Parlimen. Dalam sistem demokrasi, perbezaan pendapat terus hidup subur. Sesuatu yang perlu diingat ialah pendapat tidak semestinya fakta. Pendapat ialah sesuatu yang boleh direka-reka berasaskan kemampuan berhujah dan berasaskan kepentingan masing-masing. Biasanya, mereka yang banyak membaca dan bergaul mempunyai banyak pendapat. Cuma, ada pendapat yang bernas dan tidak kurang juga yang ‘dia rasa dia pandai.’ Dalam proses membuat keputusan, lebih banyak pendapat adalah lebih baik kerana ia dapat memberi dimensi yang berbeza. Bagaimana pun, jika terlalu banyak pendapat yang tidak boleh dikategorikan sebagai idea luar biasa, ia sekadar menghabiskan masa terutama jika dikemukakan dalam persidangan penting.
Nyatakan apa saja isu, pasti ada pandangan yang berbeza. Pendapat yang berbeza juga baik jika ia mampu mengukur kematangan. Sebaliknya, pendapat yang beremosi, boleh menimbulkan kekeliruan. Pendapat yang baik berpegang kepada fakta. Ia berbeza dengan pendapat tanpa fakta mengelirukan pemikiran umum dan mengusutkan lagi keadaan. Pendapat berlandaskan fakta biasanya untuk golongan yang cenderung kepada pemikiran rasional. Mereka yang memberi pendapat tanpa fakta akan menghasilkan pendapat yang emosional. Adakalanya perbezaan pendapat adalah baik jika matlamatnya untuk mencari kebaikan. Tetapi, jika pendapat yang ‘ada udang di sebalik batu’, ia hanya mencetuskan perbalahan, tambahan pula datangnya daripada orang yang berpengaruh. Dalam beberapa kes mahkamah, umpamanya, fakta dikaburi akibat terlalu banyak pendapat yang beremosi dan berunsurkan politik. Disebabkan satu atau dua kes yang dikuasai pendapat seperti itu, kepercayaan kepada keseluruhan sistem kehakiman cuba dihakis. Satu dua kes seperti ini menenggelam ribuan perbicaraan, keputusan dan hukuman mahkamah yang membabitkan pelbagai jenis kesalahan. Sudah begitu banyak hukuman mati dijatuhkan oleh mahkamah kepada pesalah, tidak pernah pun dipertikaikan. Kepercayaan kepada sistem kehakiman sangat tinggi kerana ia dibicarakan berpandukan kepada fakta kes. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga turut menghadapi masalah berpunca daripada sikap negatif yang sudah ditanam ke dalam pemikiran rakyat akibat pelbagai pendapat yang tidak memihak kepada SPRM. Sebenarnya bukan orang ramai yang mahukan tindakan diambil terhadap 'jerung'. Tetapi, usaha SPRM ini cuba ditenggelamkan oleh pendapat yang mahu memastikan rakyat tidak mempercayai SPRM. Banyak contoh lain lagi.
Penyatuan Melayu
DALAM soal politik, khasnya UMNO dan PAS, orang Melayu bukan saja berbeza dari segi pendapat tetapi sering berselisih faham. Mereka berbeza pendapat mengenai falsafah politik dan agama. Sebenarnya, melihat daripada isu yang ketengahkan, ia bukanlah perkara terlalu besar sehingga kedua-dua parti itu tidak boleh berbincang. UMNO berteraskan semangat nasionalisme manakala PAS pula kata mereka berjuang atas nama Islam. UMNO pun berjuang atas nama Islam juga manakala PAS pun perlu ada semangat nasionalisme. Jadi, apa yang membezakan kedua-duanya.
Mereka juga berselisih faham mengenai perkara prosedur, contoh kekeliruan pembayaran royalti minyak dan pelaksanaan dinar emas dan dirham perak di Kelantan. Ini pun boleh diperbetulkan jika kedua-dua parti itu boleh duduk semeja.
Hubungan orang Melayu ibarat air dicincang tidak akan putus dan ibarat aur dengan tebing. Bila sampai masanya, mereka akan melupakan perbezaan pendapat dan bersatu semula.
Berita Harian,
21.8.2010
No comments:
Post a Comment