ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, August 17, 2010

UMNO BERSEDIALAH HADAPI KEHILANGAN MCA

KALAU saya merupakan ahli Umno yang mindanya bergerak dan tidak mengutamakan perut (perutisme) tentu saya akan merasa bimbang dengan perkembangan yang berlaku dalam Barisan Nasional (BN) muasir ini terutamanya mendengar kenyataan atau apa yang diistilah pembaharuan minda dalam politik MCA.

Saya jadi cukup cemas mendengar penegasan dan sikap berani tanpa menghiraukan perasaan rakan komponennya lain yang diambil Presiden MCA, Chua Soi Lek .Saya percaya Soi Lek membuat kenyataan dan pendekatan itu semua bukan bersendirian tetapi merupakan konsensus MCA atau masyarakat Cina seluruhnya.

Meneliti kenyataan-kenyataan Soi Lek tampaknya beliau tidak menoleh ke belakang lagi. MCA atau masyarakat Cina kini sudah tidak ada pantang larang lagi. MCA tidak pedulikan lagi apakah kenyataan dan pendekatan yang diambil itu menyakiti hati orang atau tidak. Iya, bila Sazali sudah besar, sudah punya wang banyak dan sudah berkuasa, Sazali akan melakukan apa saja. Bapak apa tau...! Begitulah MCA yang saya nampak dengan meneliti kenyataan dan ulah Soi Lek ia seperti Sazali dalam filem "Anakku Sazali".

Perhatikan kepada beberapa kenyataan "Sazali" akhir-akhir ini dalam usahanya untuk memastikan MCA menjadi wadah orang Cina. Semua kenyataan dibuat menggambarkan keberanian MCA dan Soi Lek mahu membawa MCA ke arah yang dikehendakinya. Cara Soi Lek bercakap hari ini sudah tidak berahsia lagi. Fenomena globalisi dipergunakan secukupnya oleh Soi Lek.

Beliau juga sudah tidak segan silu lagi. Semangat setia kawan atau perasaan ingin menjaga hati kawannya (Umno) juga sudah tidak ada lagi. Soi Lek berpegang kepada realiti dan bukannya retorik. Dalam kata mudah, Soi Lek khasnya dan MCA amnya, sudah tidak berpegang kepada semangat perpaduan dizaman HS Lee, Dr Ismail, Sambanthan, Razak Hussein dan Tunku Abdul Rahman lagi. MCA kini sudah melepas satu sempadan baru. MCA juga terlepas dari lingkaran ketegaran (chauvinis) Melayu Dr Mahathir Mohamed.

MCA mempelajari dan mengkaji akan perbezaan watak-watak ataupun naluri tokoh-tokoh Umno dari Tunku Abdul Rahaman, Tun Razak, Dr Ismail Abdul Rahman, Hussein Onn, Abdullah Badawi dan Najib Razak. MCA atau Soi Lek mengkaji semuanya. Sikap dan watak pemimpin Melayu hari ini berubah dan berbeza jauh dengan pemimpin dulu.

Begitu juga Soi Lek mengenali pasti siapa dan bagaimana Najib Razak, Hishmuddin Hussein ataupun Muhyiddin Yassin. Soi Lek juga mengenali dan mengetahui pemimpin Umno hari ini bukan lagi memilik semangat nasionalis, tetapi semuanya mengagungkan semangat pitisisme - materialistik. Jadi apabila hati dan jiwa orang Melayu sudah rosak maka itu mudahlah untuk orang Cina meruntuhkannya.

Perubahan sikap, nilai perjuangan orang Melayu itulah menjadikan MCA berani melakukan apa saja. Bagi MCA mereka sudah menanggalkan semangat Perikatan yang dibina sebelum tahun 1957. Kemerdekaan yang dicapai 31 Ogos telah diterima sebagai kemerdekaan kaum itu juga yang mana kegiatan dan sorakan kemerdekaan itu didiamkan saja selama ini sehingga kini ia boleh dilaungkan secara terus terang.

Sekiranya Soi Lek masih berpegang kepada semangat itu, setiakawan Perikatan beliau tidak akan mengganggu tidur Umno dengan meminta ekuiti 30 untuk Bumiputera dalam semua sektor dihapuskan. Kalau beliau ingin menyuarakannya juga beliau akan buat secara senyap. Tetapi semangat dan rasa hormat itu sudah tidak ada lagi. Kenapa?

BN ada majlisnya dan menerusi majlis ini beliau boleh sampaikan permintaan itu. Atas kapasitinya sebagai presiden MCA, Soi Lek boleh minta berjumpa Najib atau Muhyiddin bila-bila masa dan di mana saja. Itulah yang diamalkan oleh pemimpin MCA terdahulu kerana itu kekeliruan atau ketegangan politik tidak terlatas kepada umum.

Tetapi kenapa beliau berani mengeluarkan tuntutan itu secara terbuka malahan menegaskan akan berusaha untuk melaksanakan
12 resolusi yang diambil dalam Kongres Ekonomi itu. Jawabnya kerana MCA tidak hormati Umno lagi dan sudah tidak bimbang dengan sebarang tindakan kerana Umno sendiri kini makin menghujung. Dalam pada itu MCA sudah merasakan dia mempunyai rakan lain yang lebih istimewa dari Umno.

Soi Lek juga mengatakan dia tidak takut untuk berkongsi pandangan dengan DAP atas kepentingan Cina. Sekali lagi kenyataan ini menjadikan Perkasa senak perut. Kenyataan dan pandangan itu cukup menghiris pedihkan hati Umno. Mungkin ahli Umno yang perutnya tidak buncit menyedari isyarat Soi Lek. Perkongsian dengan DAP itu bukan saja perkongsian pandangan tetapi politik juga. Iya, Umno dan Melayu harus melihat jauh dari itu dan memahami Soi Lek.

Soi Lek atau MCA ada alasan sendiri kenapa beliau berani mengeluarkan hawa politik begitu. Beliau melihat kepada realiti politik hari. Beliau tidak mahu terkebelakang dalam memberi harapan kepada orang Cina. Politik orang Cina pula politik ada standard, ada kelas. Politik orang bukan di negara datuk nenek. Politik orang Cina politik untuk kepentingan kaum, politik bersama dan bukan politik nafsu nafsi. Juga politik perdagangan. Terima atau tidak, mereka senantiasa sedar bahawa negara ini bukan negara datuk nenek moyang mereka. Justeru mereka senantiasa berwaspada dan akan mencari seramai mungkin kawan di mana juga demi kelangsungan hidup.

Dari perspektif politik, kenyataan atau pandangan politik Soi Lek itu nampak terbuka dan hijau dan otentif. Beliau membuat perubahan berani itu kerana mengambil iktibar dari sejarah tsunami 2008. MCA cukup bimbang kalau politik BN tidak diperbaiki tsunami itu akan menenggelamkan parti itu. Dan DAP akan menjadi bahtera baru kepada orang Cina manakala MCA akan disumpah kaum itu selamanya. Ini yang hendak dielakkan Soi Lek dan untuk itu beliau sanggup menjadi tidak popular kepada orang Melayu.

Kerana itu dalam keadaan payah, mencabar dan mungkin dianggap jahat, tetapi MCA harus keluar dari belenggu itu demi menyelamatkan partinya.

Soi Lek dan MCA mengkaji kekalahana BN dan mengkaji juga kemenangan Pakatan Rakyat. Dalam kajian inilah menemukan beliau dengan solusi-solusi politik yang menyakitkan Umno. Tetapi sebagai kaum yang optimis MCA akan menyelamatkan dirinya dulu sebelaum mengambil kira atau simpati kepada rakannya itu.

Itulah MCA yang tidak seperti Umno yang terus bernostalgia dan menganggap kepada mitos Umno selamanya akan mendapat sokongan Melayu dan menjadi kepala kepada kaum lain di negara ini. Pegangan Umno itu adalah pegangan yang tidak bersendikan kebenaran dan satu kepercayaan lapok yang bidaah. Kerana berpegangan kepada fahaman bidaah politik itulah makanya Umno kini sedang karam.

Perkembangan dan sikap baru MCA harus diberi perhatian serius oleh Umno. Umno tidak lagi perlu berpegang kepada piagam Perikatan. Piagam itu juga sudah lapok dan tidak relevan. Dikhuatiri kalau Umno masih gah dan bernostalgia dan merasakan mampu bertahan dengan kebendaan sekarang, parti itu bakal kecewa besar. Keangkuhan Umno yang memandang kecil dan hina kepada rakan sejenisya yang lain, akan membawa padah.

Tanpa persediaan dan kesedaran itu terutamanya bijak menebak arah yang difokuskan MCA kini, saya merasakan Umno akan ditinggalkan kawan bernama MCA. Tidak musathil berdasarkan kenyataan Soi Lek itu kalau MCA akan bergabung dengan DAP kemudian membina kekuatan baru orang Cina dalam Pakatan Rakyat. Sedang buat masa ini Umno pula terkial-kial mencari kekuatan yang hilang untuk ditawarkan kepada Umno.

Dan saya kira desakan atau ugutan yang dibuat Soi Lek atas nama perubahan politik MCA itu tidak akan terlayan oleh Najib dan cabaran itu tidak akan tersambut olehnya. Jadi, apa yang akan jadi, Najib perlu mencari ikhtiar dan tali pergantungan baru. Sayang KLCC puncaknya tinggi, Melayu hanya merenung dari kejauhan!

Oleh:Mohd Sayuti Omar,
17.8.2010
Label:penulis tamu

(maaf saya tak berkesempatan untuk menulis sendiri buat masa ini atas sebab tertentu-alkundangi).

No comments: