ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Sunday, September 26, 2010

Tahan Zunar bukan sebab kartun: Hishammuddin


KLUANG - Menteri Dalam Negeri menafikan penahanan kartunis portal pembangkang Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque, 49, hanya disebabkan kartun yang dihasilkan olehnya.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau menafikan penahanan kartunis berkenaan dengan hanya disebabkan kartun yang dihasilkan menyentuh tentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Walau bagaimanapun, ramai yang cuba menggembar-gemburkan penahanan tersebut ada hubung kaitnya dengan kartun yang menyentuh kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Tetapi, berdasarkan maklumat yang saya terima daripada pihak berkuasa mengatakan bahawa kartun-kartun itu juga ada menyentuh kepada isu-isu yang berhubung kait kepada sistem perundangan kita, agama, isu kalimah Allah juga di putar belitkan dalam kartun,” katanya pada sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Parlimen Sembrong di Dewan Kejora, Taman Sri Lambak, semalam.

Hishammuddin berkata, penahanan dibuat mengikut Akta Hasutan dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Kelmarin, Zunar ditahan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana menghasilkan buku Cartoon-O-Phobia yang menyentuh isu-isu sensitif dan boleh mengganggu ketenteraman awam.

Beliau telah ditahan di pejabat penerbitan miliknya, Sepakat Efektif Sdn Bhd yang terletak di ibu negara kira-kira jam 4 petang.

25.9.2010

No comments: