ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Sunday, May 1, 2011

PESTA BUKU, SASTERA DAN POLITIK

Di PWTC,Ibu negara berlangsung pesta buku yang bermula pada 22 April dan berakhir 1 Mei,2011. Penulis sempat menjengah pesta buku tersebut pada hari Sabtu 30 April,2011. Melihat kehadiran orang ramai, kita percaya rakyat Malaysia tua dan muda kuat membaca. Untuk mendapatkan tempat parking di aras 4 sahaja sudah memakan masa satu jam. Bayaran yang dikenakan adalah RM8.00, agak mahal. Namun kena bayar juga sebab mahu tengok pesta buku. Dan buda-budak pula mahu melawat kedai pink Ain Maisarah, penulis novel popular nombor wahid di Malaysia ketika ini. Sempat juga penulis menjenguk kedai Ain Maisarah, tetapi kerana terlalu ramai manusia, hajat anak-anak terpaksa dilupakan begitu sahaja. Hajat berjumpa Ain Maisarah tertangguh ke satu tarikh yang tidak pasti. Begitu ramai remaja, kebanyakannya masih bersekolah yang memenuhi ruang kedai pink itu untuk mendapatkan tanda-tangan Ain Maisarah sehingga tiada ruang untuk anak-anak mencelah.

2. Selanjutnya penulis mengunjungi PTS Publication, milik Puan Ainon, namun dia tiada di situ, dan seorang penulis pun tidak kelihatan. Akhirnya penulis bertemu dengan gerai Ahmad Muhajir, kolumnis Harakah ruangan emel dari seberang . Itu sahaja yang dapat ditemui. Kami sekeluarga berjalan-jalan lagi dan akhirnya bertemu Dawama, pengedar buku-buku DBP. Penulis sempat membeli beberapa buah buku dengan diskaun yang agak tinggi juga.Alhamdulillah.

3. Sebenarnya penulis lama juga tidak mengikuti perkembangan sastera tanahair. Sebab utama ialah bila kita menumpukan diri kepada bidang sastera, kita tertinggal bidang politik, dan blog ini pun tidak dapat dikemaskini. Hanya ada beberapa penulis yang mampu melakukan atau menguasai kedua-dua bidang berkaitan sekaligus seperti Allahyarham Zakri Abadi, dan yang masih aktif,Rahman Shaari. Yahya Ismail, bila beliau menumpukan kepada penulisan bidang politik, bidang satera tertinggal terus. Yahya Ismail adalah penulis beberapa buah buku sastera yang penting seperti Sastera Melayu Moden Dalam Esei dan Kritik dan Mengkaji Fiksyen. Buku-buku ini penting untuk rujukan pengajian tinggi, khasnya di peringkat ijazah.Beliau juga banyak menulis cerpen, antara yang kontraversi ialah Maharaja Beruk, yang menyindir mantan PM Mahathir Mohamed.

4.Kini sastera Malaysia ketandusan dalam dunia kritikan. Dewan Sastera April,2011 menyuarakan hal ini. Beberapa tulisan di akhbar juga mempersoalkan hal yang sama. Tidak diketahui ke mana pergi para kritikawan kita, atau apakah bidang itu tidak menghasilkan pulangan lumayan? Sebab dewasa ini manusia mementingkan pulangan yang lumayan, seperti apa yaang dilakukan oleh Ain Maisarah dan lain-lain penulis novel polular. Namun jika kita terlalu menumpukan kepada novel popular, bilakah kesusasteraan kita akan menjadi matang? Kita belum ada tokoh semisal Pramoedya Ananta Toer, atau BH Jassin dan Iwan Simatupang. Iwan Simatupang dikagumi kerana membawa aliran absurdisme dalam karya-karyanya, samada novel mahupun drama.

5.Penulis sendiri pun dalam dilema, samada mahu menumpukan perhatian dalam bidang politik, atau pun sastera. Kedua-dua bidang memerlukan pembacaan dan pemerhatian yang banyak.Namun sastera dan politik mempunyai kaitan yang rapat. Ada tokoh sastera ada yang terlibat dalam politik eperti SN Shahnon Ahmad. Ada juga sastera dipolitikkan seperti novel Interlok baru-baru ini yang menimbulkan polemik yang agak panjang. Walau bagaimanapun, kesemuanya itu menuntut kematangan, dan bukan boleh dilakukan secara rambang atau rawak sahaja.

alkundangi,
1 Mei,2011.

No comments: