ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Wednesday, September 24, 2008

RENCANA UMUM:KESAN DAN IMPLIKASI DARI PENERBITAN ELEKTRONIK

KESAN DAN IMPLIKASI DARI PENERBITAN ELEKTRONIK

Perkembangan teknologi komputer,khususnya yang berhubungan dengan internet telah melahirkan gaya hidup baru yang berbeza di dunia hari ini.Teknologi kini telah mempengaruhi kehidupan manusia dengan sebegitu rupa, sehingga kini manusia di katakan tidak dapat hidup tanpa teknologi.Seluruh corak kehidupan berubah.Internet juga telah melahirkan dunia tanpa sempadan dengan konsep globalisasi yang didominasi oleh kuasa-kuasa besar, khususnya Amerika. Perkataan globalisasi sebenarnya mula popular pada dekad 1990-an ,namun begitu ia amat sukar ditafsirkan sebagai satu konsep tunggal kerana persepktifnya yang luas dan merangkumi banyak perkara. Menurut Waters dan Mittelman sebagaimana dikutip oleh Mohd.Azizuddin Mohamad Sani (2003), globalisasi meliputi pelbagai bidang dan merupakan satu fenomena multidimensi yang melibatkan aspek ekonomi,politik,budaya dan ideologi.

Kesan-kesan dari perubahan itu melibatkan juga dunia penerbitan, yang juga merupakan kegiatan ekonomi dan budaya yang penting dalam kehidupan kini. Teknologi penerbitan konvensional adalah diasaskan kepada teknologi percetakan moveble-type yang dilihamkan oleh Gutenberg,sudah begitu lama menguasai dunia penerbitan dan menjadi perkakasan atau hardware utama bagi media cetak.Ia mencetak karakter dan grafik di atas kertas semenjak 500 tahun dahulu dan telah memberikan sumbangan yang besar dalam proses penyebaran maklumat dan pengetahuan.Kini kehadiran ICT telah menghasilkan penerbitan elektronik yang banyak memberi pilihan kepada pengguna (Shaharom TM Sulaiman dan Salasiah Abd.Wahab,2002).

Sebenarnya,penerbitan elektronik telah bermula sejak wujudnya komputer.Ketika itu bahan-bahan elektronik terdapat dalam bentuk disket dan juga dalam perkakasan.Dan kemudian bila CD-ROM diperkenalkan, banyaklah bahan-bahan terbitan asalnya dalam bentuk konvensional mula diterbitkan dalam bentuk CD-ROM.Dengan terbentuknya internet, bahan-bahan bercetak mula dipindahkan ke lebuhraya maklumat, dan bermulalah era buku elektronik dan jurnal dalam talian.Sehubungan dengan itu,istilah penerbitan elektronik sentiasa berubah pantas sejajar dengan perubahan dan kemajuannya(Shaharom TM Sulaiman dan Salasiah Abd Wahab,Ibid).

Penerbitan elektronik dapatlah ditakrifkan sebagai penerbitan dalam bentuk yang menggunakan komputer dalam penghasilannya.Bahan penerbitan elektronik biasanya dapat diedarkan untuk pengguna secara dalam talian atau dicetak oleh pengguna sendiri.Ia juga diterbitkan dalam bentuk DVD atau VCD atau dalam laman web yang lebih interaktif sifatnya.Ciri-ciri multimedia kini menambahkan keberkesanan penerbitan elektronik. Bahan-bahan seperti disket, CD-ROM,jurnal elektronik,majalah elektronik dan akhbar dalam talian adalah contoh-contoh penerbitan elektronik yang terkini.

Namun dari suatu sudut,kemunculan besar-besaran penerbitan bahan elektronik telah meninggalkan kesan dan implikasi yang tidak sedikit kepada kehidupan manusia kini termasuklah dunia penerbitan itu sendiri.Ia juga meninggalkan implikasi ke atas ekonomi dan budaya yang menjadi sebahagian dari ciri kehidupan manusia.Memang setiap sesuatu yang baru itu meninggalkan kesan,samada positif atau pun negatif. Begitulah juga dengan penerbitan elektronik ini.Ia mengundang kedua-dua implikasi, iaitu positif dan negatif.

Kesan-Kesan Positif

Oleh kerana ia sesuatu yang baru dan masih sedang berjalan, kesan positifnya agak sukar dilihat kecuali apa yang telah berlaku atau sedang berlaku.Umpamanya penerbitan elektronik tidak memerlukan jangkamasa yang lama untuk menerbitkan sesuatu bahan,jika sekiranya ia ingin dicetak secara fizikal.Hanya pengarang asal perlu menaipnya dengan komputer dan setelah menyemaknya,ia terus dikemukakan kepada penerbit jika ia ingin diterbitkan.Sang pengarang boleh juga terus menghubungi mana-mana webmaster,jika ia ingin menerbitkan bahannya ke dalam laman-laman web.Ia juga boleh meminta mana-mana penerbit menerbitkannya dalam bentuk CD-ROM jika ia ingin berbuat demikian.Ia tidak perlukan jangkamasa yang lama,juga tidak perlu ditaip semula oleh mana-mana jurutaip.

Selain itu,penerbitan elektronik memudahkan kerja pencarian maklumat dengan wujudnya jurnal-jurnal yang diterbitkan secara online,khususnya jurnal berbahasa Inggeris.Ada juga laman-laman web berbahasa Melayu yang menerbitkan rencana-rencana ilmiah yang dapat dijadikan rujukan bagi mereka yang memerlukannya umpamanya www.usm.lib.my dan sebagainya.Namun jurnal-jurnal ini agak berkurangan berbanding jurnal berbahasa Inggeris. Menurut Roosfa Hashim(Tanpa Tahun), adalah sukar untuk mencari jurnal ilmiah kita di internet.Gunakanlah enjin pencarian apa sahaja seperti altavista, geogle, hotbot atau exite, kita tidak akan menemuinya selain beberapa jurnal yang boleh dihitung dengan jari sepuluh.Yang akan kita temui adalah Malaysian Journal of Computer Science dan Malaysian Law Journal.

Aspek positif yang lain ialah sejajar dengan perkembangan penerbitan elektronik berimbang dengan usaha kerajaan dalam membangunkan era IT di negara kita, kini hampir semua akhbar arus perdana telah menerbitkan edisi internetnya secara online.Ini termasuklah Berita Harian,New Strait Times ,The Star, Utusan Malaysia dan sebagainya.Tidak ketinggalan juga parti-parti pembangkang turut memanfaatkan perkembangan ini dengan menerbitkan Harakahdaily,Rocket ,Suara Keadilan dan sebagainya secara online.Keadaan ini menyuburkan perkembangan demokrasi dan kebebasan berpendapat di negara ini.


Kesan-Kesan Negatif

Namun apa yang lebih merunsingkan terutama bagi mereka yang terbabit dalam dunia pernerbitan konvensional di negara ini,penerbitan elektronik telah meninggalkan kesan yang tidak sedikit terhadap kegiatan mereka ,termasuk implikasinya terhadap masyarakat serta industri buku itu sendiri.Walaupun dari satu segi ia memudahkan penerbitan buku serta bahan-bahan lainnya,tetapi kos permulaannya agak mahal berbanding peralatan lama yang sedia ada.Selain itu, penerbitan elektronik khususnya secara online akan mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada buku-buku dan jurnal-jurnal,termasuk akhbar-akhbar harian.Walaupun setengah dari kita lebih selesa dengan cara lama, namun di masa-masa mendatang,masa depan penerbit konvensional akan terancam.Masalah royalti,masalah penyalinan dokumen tanpa kebenaran akan menghantui penerbit-penerbit buku dan lainnya walaupun mereka turut terlibat dalam penerbitan elektronik ini.Walaupun wujud kawalan undang-undang, namun ia tidak dapat memastikan jenayah online yang lebih canggih dan sukar ditangani berbanding jika menggunakan kaedah konvensional.

Perkembangan yang canggih dalam dunia buku tidak kurang juga memberikan reaksi yang kurang senang kepada masyarakat.Dalam satu tulisannya Brikets dalam bukunya The Gutenberg Elegies;The Fate of Reading in An Electronic Age (1994), sebagaimana yang dikutip oleh Shaharom TM Sulaiman (2001) memberikan reaksi bahawa kita kini dalam bahaya, kerana terlalu percaya bahawa kecepatan dan keajaiban elektronik telah memerdekakan kita dari kerja-kerja berat, namun baginya ia telah kehilangan nikmat membaca.Baginya,membaca buku adalah tempat berlindung,tempat paling pribadi dan subjektif. Ia adalah sebuah penjelajahan kedalaman dan keintiman seseorang dengan dirinya.Dengan penerbitan elektronik, istilah deep reading sudah pun ternoda dan orang sudah tidak lagi merasakan nikmat dan estetika membaca.Kehidupan yang serba moden yang tergesa-gesa,ekonomi yang mengejar laba dan keuntungan dengan kemajuan teknologi elektronik ternyata merampas waktu hening yang meditatif.

Sebahagian dari ahli masyarakat kita pula mengalami masalah lain dalam menghadapi perkembangan teknologi penerbitan ini. Mereka tidak begitu berani berdepan dengan media baru ini, dan merasakan satu phobia apabila berhadapan dengan komputer yang dihubungkan dengan internet. Mereka juga kurang yakin dengan teknologi ini, dan mungkin akan gugup ketika menggunakannya apabila timbul masalah-masalah teknikal yang berkaitan dengan dunia komputer dan jaringannya. Ada juga di kalangan pengguna berpendapat buku memiliki keistimewaannya tersendiri,seperti ia boleh dipegang,dicatat di mana suka,dan mudah di bawa ke sana ke mari tanpa bergantung kepada elemen elektronik dan teknologi tertentu untuk membacanya.

Teknik hyperteks dalam penerbitan online memungkinkan satu teks terhubung dengan teks lain,hanya dengan menggunakan satu klik tetikus,mengubah cara membaca yang linear dan sekuensial.Dengan hyperteks di internet, pembaca dengan mudah berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.Memang ianya merupakan suatu kemudahan, akan tetapi justeru itu muncul ketergesaan dalam berpindah dari satu teks ke teks lainnya.Ia berlaku tanpa perenungan,kedalaman dan tidak kontemplatif.Akibat lain, ialah terpinggirnya keindahan bahasa.Kompleksiti,kekayaan dan kelembutan bahasa semakin menghilang dan digantikan dengan bahasa robotik, ,teknis, langsung,sederhana dan tergesa-gesa.Tentunya semakin sedikit orang-orang yang mahu membaca karya-karya besar yang memerlukan penumpuan yang lebih dalam suasana konvensional (Shaharom TM Sulaiman,2001).

Ramai juga penerbit yang bimbang dengan pelancaran novel-novel yang menggunakan format e-buku yang mungkin mematikan industri penerbitan.Umpamanya apa yang dilakukan oleh Stephen King yang menerbitkan The Plant tanpa menggunakan penerbit.Seseorang hanya perlu menjalankan proses download untuk mendapatkan bukunya itu.Bayaran boleh dilaksanakan sebelum atau sesudah download. Amalan penulis yang tidak lagi memerlukan penerbit, pengedar dan toko buku dan berhubung terus dengan pembaca dan pembeli tentulah merisaukan para penerbit. Namun hal ini tidak dapat dipastikan kerana Stephen King adalah penulis yang sudah terkenal.Bagaimana kalau ia dilakukan oleh penulis yang belum terkenal? Mungkin ia tidak mendapat sambutan atau tidak seorang pun ingin memuat turun novelnya.Sebenarnya dalam hal ini apapun boleh terjadi.Yang menjadi persoalan,perkara itu boleh berlaku dan ia bakal memberikan sisi negatif yang tidak sedikit kepada dunia penerbitan konvensional (Shaharom TM Sulaiman dan Salasiah Abd Wahab,2002).

Satu lagi sisi negatif khasnya ke atas dunia Islam ialah bahan-bahan yang tidak bertapis yang diterbitkan secara online.Bahan-bahan seperti ini ada yang bersesuaian dan ada juga yang bertentangan dengan konsep dan amalan hidup masyarakat Islam. Ternyata banyak bahan di internet yang tidak selari dengan roh dan akidah Islam, yang berlindung di bawah konsep globalisasi.Umat Islam yang berilmu mungkin dapat menapis bahan-bahan berkenaan dari masuk meresap ke dalam kalbu mereka.Namun bagi masyarakat massa Islam yang kekurangan ilmu ternyata agak sukar melakukannya kerana bahan-bahan yang diedarkan adalah merupakan bahan mentah yang perlu ditapis terlebih dahulu agar ia tidak merosak keharmonian akidah Islam.

Selain itu bagi pihak kerajaan,pengawalan bahan-bahan yang disiarkan secara elektronik agak sukar dilakukan, kerana dunia internet itu sendiri adalah dunia yang bebas tanpa sempadan.Walaupun terdapat akta-akta yang berkaitan dengan multimedia dan undang-undang siber,namun keberkesanannya masih boleh dipertikaikan.Sebagai contoh terdapat laman-laman web yang menerbitkan bahan-bahan yang tidak selari dengan aspirasi kerajaan,bahkan dalam sesetengah hal bertentangan dengan dasar kerajaan dan amalan masyarakat Malaysia yang majmuk sifatnya,namun tindakan yang sewajarnya tidak dapat diambil kerana laman-laman web berkenaan menggunakan tapak web luar negeri.Hal ini menjadikan ia terselamat dari akta-akta berkaitan. Ini menyukarkan kerajaan yang ingin mengawal ketenteraman awam dan perpaduan kaum serta menjadikan negara aman untuk didiami.

Kesimpulan

Penerbitan elektronik,selain dari ianya memudahkan kerja-kerja penerbitan, menyingkatkan waktu,serta mengurangkan tenaga manusia,ia juga membawa kesan-kesan negatif yang tidak sedikit terhadap kehidupan manusia kini.Apalagi bahan-bahan yang diterbitkan secara online itu dimonopoli oleh negara-negara maju seperti Amerika dan sebagainya. Dari satu segi, ia mungkin melanjutkan era kolonialisme dalam bentuknya yang lain,iaitu mendominasi maklumat yang disalurkan ke atas negara-negara dunia ketiga.Mereka yang menguasai maklumat akan menguasai dunia ini.Ini adalah pendapat terkini tentang ledakan maklumat akibat berkembangnya penerbitan elektronik melalui internet atau alam siber.

Namun manfaatnya juga amat banyak jika manusia menghargai kemajuan dan kecanggihan yang telah dicapai setakat ini.Sekiranya manusia lebih bersifat manusiawi, penerbitan elektronik akan memberikan tamadun yang cukup tinggi terhadap kehidupan manusia itu sendiri.Hanya kita perlu menggunakan akal sendiri, dan tahu meletakkan sesuatu itu pada tempatnya.


Dipost pada,
24.9.2008


Bibliografi:

Mohd Azizuddin Mohd.Sani(2003),Globalisasi Hak Asasi Manusia: Debat Aliran Universalisme dan Ralativisme ,dalam Lukman Z.Mohamad dan Azmi Abdul Manaf (2003),Globalisasi Di Malaysia, Kuala Lumpur,Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.,cetakan pertama.

Shaharom TM Sulaiman dan Salasiah Abd Wahab(2002),Keanehan dan Keunggulan Buku ,Kuala Lumpur,Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd,cetakan pertama.

Shaharom TM Sulaiman (2001), Realiti Dan Ilusi Kehidupan Maya Dalam Era Siber,Bt.Caves,Selangor, Mahzum Book Services,cetakan pertama.

Roosfa Hashim (Tanpa Tahun) , Mencari Jurnal Ilmiah Kita Di Internet, available at:
http://www.geocities.com/zek_my/news/ut20.html

No comments: