ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, October 24, 2009

MUKTAMAR PAS BUANG PEMIMPIN BERMASALAH

Muktamar Khas buang pemimpin bermasalah

SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) mencadangkan sebuah Muktamar Khas diadakan membincangkan kedudukan ‘dua tiga kerat pemimpin bermasalah’ termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dalam laman webnya www.blogtokguru.com. berkata, perlu ada perubahan dalam 'pemain-pemain penting' yang menduduki kerusi kepimpinan Pas di peringkat pusat.

Menurutnya, dengan adanya Muktamar Khas itu nanti, Pas boleh menentukan keputusan majoriti parti sama ada mahukan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO ataupun terus bersama dengan Pakatan Rakyat (PR).

“Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah, bila Muktamar Khas nanti tak mahu tukar Presiden (Abdul Hadi) misalnya, maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat 'belaloh' (bercakaran pendapat).

“Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khas, senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana.

"Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini,” katanya.

Nik Aziz turut menegur beberapa pemimpin Pas terutamanya Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang kelihatan pro-UMNO untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan.

“Tenggelam-tenggelam, timbul (isu kerajaan perpaduan), kemudian dihidupkan.

"Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni? Tidak boleh jadi ni, kita duk 'ghok-ghak' (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah, senang cerita,” katanya,

Beliau turut bersetuju dengan tulisan kolumnis Prof Dr Aziz Bari dalam akhbar ini keluaran 19 Oktober lalu yang membangkitkan mengenai isu berhubung beberapa pemimpin parti itu yang bermasalah.

Nik Aziz berkata, Muktamar Khas itu juga boleh digunakan untuk membincang mengenai golongan atas pagar yang membuat 'swing votes' dan mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Sementara itu ketika ditemui di KOTA BHARU, Nik Aziz berkata, cadangan mengadakan Muktamar Khas kerana kecewa dengan sikap beberapa pemimpin parti itu yang pro-UMNO.

Menurutnya, beliau bertanggungjawab mengemukakan cadangan tersebut setelah melihat isu yang dianggap selesai pada Muktamar Pas sebelum ini dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

“Itu pandangan saya, jika pimpinan pusat atau Dewan Harian boleh terima. Jika tidak terimalah tidak mengapa, saya tidak terkilan, tetapi hati saya lepas lah, saya tidak mahu Pas ini ditegur tetapi buat senyap. Presiden juga boleh ditegur,” katanya.

Abdul Hadi yang dihubungi di KUALA TERENGGANU pula enggan memberi sebarang ulasan dengan alasan tidak mengetahui perkara itu kerana masih belum membaca kenyataan tersebut.

"Saya akan menghubungi Nik Abdul Aziz untuk mendapatkan pengesahan tentang Muktamar Khas tersebut sebelum memberi sebarang kenyataan," katanya.

www.sinarharian.com.my
24.10.2009

No comments: