ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Monday, October 19, 2009

TALIBAN MAHU TAWAN AFGHANISTAN DAN PAKISTAN

Taliban mahu ‘tawan’ Pakistan, Afghanistan
Oleh Azman Abdul Hamid
bhnews@bharian.com.my

LIMA serangan dalam tempoh hampir dua minggu yang mengorbankan lebih 170 orang awam selain askar dan polis menjadi petanda terbaru pergerakan Taliban ada cita-cita lebih besar di Pakistan.

Petanda itu awalnya dikesan di negara jiran, Afghanistan, apabila militan Taliban mengotakan janji mengganggu dan memeras ugut penduduk supaya tidak mengundi dalam pilihan raya terbaru, dua bulan lalu.

Tidak syak lagi, pergerakan itu menunjukkan niat untuk berkuasa semula, sekurang-kurangnya di Afghanistan dan tidak mustahil juga di Pakistan selepas serangan demi serangan terhadap kubu kuatnya di sempadan gagal menyekat militan terus melancarkan keganasan.

Di Afghanistan, kemenangan Hamid Karzai dalam pilihan raya meskipun mendapat pengiktirafan antarabangsa, kemenangannya terjejas selepas pelbagai dakwaan lawannya termasuk Abdullah Abdullah bahawa berlaku penipuan besar.

Dakwaan penipuan undi itu turut dilaporkan media Barat yang mendedahkan bagaimana ada pusat mengundi 'segera' diwujudkan untuk membantu Karzai menang.

Imej Karzai sebagai 'orang kepercayaan Washington' dan kelemahan yang dikesan dalam proses pilihan raya sedikit sebanyak menjejaskan proses demokrasi selain memperkuat kempen pergerakan Taliban dan al-Qaeda supaya penduduk menolak sistem pemerintahan ala Barat.

Serangan terhadap kepentingan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) juga berterusan khususnya selepas tentera asing dituduh tidak peduli sama ada serangan mereka mengorbankan orang awam Afghanistan.

Di Pakistan, sejak pemerintahan diambil alih Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri, Yusuf Reza Gilani, keadaan keselamatan agak goyah.

Puak Taliban mengambil kesempatan daripada pergolakan politik antara Asif Ali, Musharraf dan Nawaz Sharif untuk mengumpul kekuatan di kawasan sempadan.

Ia dibantu krisis perundangan yang menyaksikan protes peguam dan media Pakistan yang disokong Asif Ali dan Nawaz Sharif sedikit sebanyak membantu menjatuhkan Musharraf.

Begitu juga dengan persepsi sesetengah penduduk bahawa Musharraf adalah boneka Washington.

Bagaimanapun, semua itu mungkin sukar diberi perhatian ketika Pakistan bersedia meningkatkan lagi serangan terhadap Taliban di wilayah sempadan,

Ia berikutan ikrar pemimpin baru Taliban Pakistan, Hakimullah Mehsud untuk membalas dendam kematian bekas pemimpin, Beitullah Mehsud akibat serangan udara tentera Amerika, 5 Ogos lalu.

Hakimullah mengotakan janji dengan melancarkan serangan terhadap kawasan awam dan tentera Pakistan sejak dua minggu lalu.

Sudah ada laporan mengatakan lebih 200,000 penduduk akan lari dari Waziristan Selatan menjelang serangan tentera Pakistan selepas berbulan-bulan menggunakan serangan udara.

Pihak berkuasa wilayah Dera Ismail Khan sudah mendaftar 90,000 penduduk yang hilang tempat tinggal sejak konflik di sempadan meningkat pada Ogos lalu.

Laporan mengatakan lebih ramai penduduk keluar dari kawasan itu sejak militan menyerang ibu pejabat tentera Pakistan diikuti serangan di Lahore dan Kohat serta seterusnya di Peshawar menjadikan angka korban lebih 170.

Pertelingkahan Islamabad dan Washington mengenai rang bantuan Amerika kepada Pakistan turut memburukkan keadaan, lebih-lebih lagi ia dianggap terlalu banyak syarat hingga mencabul kedaulatan Pakistan.

Rang itu menawarkan AS$1.5 bilion (RM5.25 bilion) setahun dalam bentuk bantuan bukan ketenteraan.

Apapun, kehadiran tentera Amerika di Afghanistan dan operasi ketenteraan bersama askar Afghanistan dan Pakistan menjadi satu sebab yang kuat kepada militan Taliban meneruskan perjuangan sejak hilang kuasa di Afghanistan pada 2002.

Amerika dan sekutu Barat perlu memberi bantuan kepada Pakistan atau menghadapi risiko sekutunya itu dikuasai bekas pemerintah Afghanistan dan memiliki pula senjata nuklear.

Washington memilih untuk menyerang dan menjatuhkan rejim Taliban yang memerintah Afghanistan kerana dituduh melindungi Osama sebelum melebarkan kempen ketenteraannya untuk menggulingkan Presiden Iraq, Saddam Hussein.

Pentadbiran George W Bush menggunakan kematian hampir 3,000 penduduk Amerika di New York sebagai alasan melancarkan kempen memerangi keganasan.

Kini, Amerika di bawah pimpinan Barack Obama yang baru menang hadiah ‘keamanan’ Nobel, sekali lagi menghadapi pilihan iaitu terus membantu pentadbiran Asif Ali dan Hamid Karzai atau membenarkan militan mencapai cita-citanya di dua negara itu.

dari FGR,
18 Okt,09

No comments: