ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, September 11, 2010

Amanat terakhir Musa

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengingatkan bahawa polis bukan orang suruhan atau ‘yes man’ kepada individu tertentu ketika dalam perkhidmatan.

Musa pada ucapan terakhir dalam meniti hari-hari persaraan pada 13 September ini berkata, polis perlu berdiri teguh tanpa dibayangi individu lain yang cuba mengambil kesempatan.

“Bila membuat keputusan semasa bertugas, jangan berubah-ubah walaupun ada tekanan dari luar.

“Kita ambil tindakan mengikut fakta dan bukannya menjadi ‘yes man’. Kalau ini berlaku, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan lingkup,” katanya semasa berucap di Mess Pegawai Kanan di Bukit Aman, semalam.

Beliau ketika itu berucap selepas majlis Serah Tugas Ketua Polis Negara kepada Timbalannya, Tan Sri Ismail Omar yang akan dilantik menjawat jawatan tertinggi PDRM Isnin depan.

Dalam pada itu Musa berkata, anggota dan pegawai PDRM tidak boleh berpuak-puak dan menjadi ‘pak turut’ bagi mengelak PDRM daripada gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan.

“Zaman saya tidak ada sesiapa pegawai yang tahu siapa yang rapat dengan saya. Saya tidak pernah memanggil mana-mana pegawai ke rumah saya atau keluar untuk makan minum dengan mereka.

“Ini menjadikan kerja lebih mudah, kerana tidak ada pegawai yang mengampu saya,” katanya.

Sementara itu katanya, integriti setiap jabatan dalam PDRM amat penting untuk kebaikan setiap pegawai dan anggotanya.

Katanya, apabila wujudnya integriti dalam pasukan, tanggungjawab membanteras jenayah dapat dilakukan dengan lebih efektif.

Selain itu katanya, PDRM bukan peminta sedekah dan bukan 'pungut duit orang lain' tetapi kewujudannya adalah untuk menjaga keamanan masyarakat dan negara.

sinarharian,
10.9.2010

No comments: