ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, October 28, 2010

Janji di Galas, keselamatan penghuni flat dan topi keledar

- FARUSH KHAN

Sama ada Barisan Nasional (BN) menang atau kalah di Galas 4 November ini, 1,500 keluarga akan tetap dapat menduduki flat kos rendah di Gua Musang, Kelantan.

Tiga tahun lagi, bukan sekarang. Tetapi tidak apalah; lambat lebih baik daripada tiada langsung.

Berdasarkan apa yang pernah saya dengar, ada penceramah suka ingatkan pengundi; ambil sahaja apa yang diberi; hendak pangkah siapa lain cerita. Apakah perbuatan seperti itu baik atau tidak, tidaklah pula ingin saya bahaskan di sini.

Cuma daripada apa yang kita dengar, setengah orang beranggapan apa salahnya terima, kalau tiada udang sebalik batu. Ada pula yang kata, ia seperti menggigit jari yang menyuap. Tepuk dada tanya iman.

Sebelum tuduhan bukan-bukan dibuat secara terbuka, Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah pun menafikan pelaksanaan projek flat kos rendah RM180 juta itu ia pesonaan politik.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, cadangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) tersebut sudah dibuat pada 2008 lagi.

Tetapi biasalah; mulut tempayan boleh tutup;mulut manusia? Sehingga kini pun masih berkumandang suara-suara yang bertanya mengenai janji lama.

Entah apalah pula komen setengah yang mendengar Muhyiddin, ketika melancarkan projek PPR itu, memberi jaminan Kelantan dan rakyatnya penting kepada Kerajaan Persekutuan.

”BN mengambil inisiatif bantu mereka yang kurang bernasib baik. Kerajaan tidak mahu rakyat Kelantan dipinggirkan daripada arus pembangunan.”

Kalau dahulu susah hendak cakap, tapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak pula saya tahu ada janji yang tidak ditunaikan di mana pun. Cuma awal dan lambatnya sahaja menjadi persoalan.

Mengenai tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Pas Kelantan daripada Kerajaan Pusat yang terus menjadi isu kontroversi, lebih baik tidak dipersoalkan buat masa ini kerana ia sudah dibawa ke mahkamah.

Kita percaya ia tidak juga akan dibangkitkan dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) di Galas (yang paluan gendangnya sudah bermula semalam dan tidak akan senyap hingga tengah malam 3 November ini) kerana tokoh UMNO Tengku Razaleigh, yang orang Pas sendiri sudah iktiraf, hormat dan letak kepercayaan, sudah berusaha mencari penyelesaian.

Menyentuh pasal flat, teringat pula kes pemandu teksi berumur 60 tahun yang mati tidak pasal-pasal Sabtu lalu akibat perbuatan pelesit yang menghumban batu sebesar bola takraw dari flat PPRT 21 tingkat, di Jalan Sungai, Pulau Pinang.

Rupa-rupanya tabiat baling barang - sampah, kerusi, pasu, akuarium; anda sebut sahaja - perkara biasa di situ.

Dalam tahun 60 an, kawasan itu – dulu namanya River Road – menjadi laluan saya dan rakan-rakan untuk ke kawasan flat lima tingkat di Kampung Jawa, kira-kira sekilometer dari situ, selalunya untuk menonton filem Melayu, yang ditayangkan percuma di dinding flat.

Ketika itu flat 21 tingkat itu, belum ada. Yang wujud adalah deretan 30 ke 40 unit rumah teres dua tingkat, dengan padang permainan di tengah. Cukup tenang, nyaman lagi menyeronokkan.

Sebenarnya ancaman kepada nyawa dan keselamatan tidak wujud di flat Jalan Sungai sahaja. Ia berlaku, seperti kes pemandu pelesit bas yang meragut nyawa orang tidak berdosa, di merata tempat.

Ketika ditugaskan mengendalikan penubuhan badan pengurusan bersama di puluhan flat di Selangor beberapa tahun lalu, macam-macam cerita saya dengar.

Di suatu kawasan, penghuni rumah pangsa mengadu, daripada lapan lif yang ada, hanya dua yang beroperasi; yang lain rosak dan lama tidak dibaiki. Apabila disiasat, rupa-rupanya ada yang sampai bawa motosikal masuk dalam lif.

Yang dahsyat, pengawal lif dipukul samseng kerana ditegur apabila bawa masuk barang bukan-bukan ke dalam lif.

Sampah, puntung rokok, kayu, besi, botol dan apa saja dilayangkan daripada tingkap rumah pangsa ikut suka, tidak kira hinggap kepala siapa,.

Dengan bertambahnya penduduk, arus pembangunan pesat dan gaya hidup baru, flat tumbuh di banyak kawasan pertumbuhan. Pelesit makin r:amai., walaupun yang baik ramai juga.

Sekarang jika berjalan di tepi flat, barangkali ada baiknya anda pakai topi keledar. Jangan tunggu keputusan dan tindakan mesyuarat mana-mana jawatankuasa.

sinarharian.com.my
28.10.2010

No comments: