ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, August 15, 2009

DI ANTARA INFLUENZA A, BENG TEONG DAN PAKATAN RAKYAT

Di antara Influenza A, Beng Teong dan Pakatan Rakyat


Negara kita kini berdepan dengan penularan wabak Influenza A yang kian serius.Akhbar menyiarkan 51 orang sudah menjadi korban setakat ini. Malaysia menduduki ranking ke sembilan di dunia. Tempat pertama diterajui Amerika. Kita harus bersedia dengan segenap segi persiapan kesihatan, termasuk memakai topeng penutup muka bila berada di tempat awam. Tidak ada pilihan. Atau lebih baik berkurung di rumah sahaja. Begitulah. Seorang anak saya sudah dua minggu tidak ke sekolah.Mujurlah, doktor kata bukan H1N1. Tapi demamnya lambat sembuh. Inilah fenomena baru kebelakangan ini, demam yang lama dan lambat sembuh. Anak beberapa orang sahabat juga begitu. Apakah ini ujian Tuhan atau sesuatu yang dirancang? Sukar untuk ditafsirkan. Kita hanya dapat berusaha dan akhirnya berserah kepada takdir setelah usaha, dan itu secocok dengan iktikad ahli sunnah.

Kematian Beng Teong masih misteri. Adakah ia ada kaitan dengan misi menawan Selangor seperti yang diumumkan PM baru-baru ini? BN katanya harus menawan Selangor selewat-lewatnya pada PRU ke 13. Kita harus menunggu inkues ke atas Beng Teong, apakah hasilnya bersifat politik atau mencari kebenaran. Seperti yang penulis pernah sebutkan pembunuhan adalah perkara biasa dalam sejarah negara ini berkaitan politik. Assyahid Ustaz Ibrahim Libya masih dalam kenangan. Begitu juga peristiwa Lubuk Merbau, Datuk Taha Talib, Jalil Ibrahim (BMF), Mustakizah, Datuk Norjan dan sebagainya semuanya meninggalkan tandatanya yang belum terjawabkan.

Ketika musim perayaan kian hampir, di mana Ramadhan dijangka bermula seminggu lagi, kita berdepan pula dengan nasalah kekurangan gula. Semua ini adalah angkara tamak haloba untuk mengaut keuntungan di air keruh. Siapakah yang harus dipersalahkan. Apakah pihak yang bertanggungjawab dari segi kepenggunaan gagal menjalankan tugasnya? Apakah penguatkuasaan undang-undang tidak berjaya membendung ini semua. Semua ini meninggalkan persoalan yang tidak terjawabkan.

Namun, isu penjualan arak di Selangor akhirnya selesai. Media arus perdana gagal mempolitikkan isu ini agar PR berpecah. Datuk Hassan Ali kini sudah boleh tersenyum dan berjabat tangan dengan Ronnie Liu. Arak hanya boleh dujual kepada orang bukan Islam. Kepada orang Islam ia tidak dibenarkan. Begitulah keputusan diambil. Tidak harus ada teori yang mengatakan kita mengharamkan arak berperingkat-peringkat. Itu di zaman permulaan Islam. Kini di zaman siber, ia harus diharamkan sekaligus, kerena Islam itu sudah lengkap dan sempurna dengan kedatangan rasul terakhir, Muhammad SAW. Muhammad SAW yang menghancurkan semua bentuk berhala dalam hidup manusia moden hari ini, samada berhala itu bersifat fizikal ataupun abstrak. Pemujaan berlebihan terhadap budaya barat, materialisme, keturunan, kapitalisme, kepimpinan dan apa sahaja falsafah hidup yang tidak sealiran dengan akidah Islam ini adalah satu bentuk pemujaan berhala sebenarnya, demikian yang dapat disimpulkan darim pandangan Syed Qutb dalam tulisannya Dirasatul Islamiyyah yang sedang penulis usahakan untuk memayakannya, Insyaallah. Walaupun ada sesetengah pihak mengatakan Syyahid Syed Qutb adalah penggalak kepada radikalisme yang merata di dunia Islam kini, namun beliau adalah seorang ulama gadungan, hafiz AlQuran, pengagum Imam Hassan AlBanna, pengasas Ikhwanul Muslimin di Mesir, yang mengambil-alih kepimpinan ummah sejak kejatuhan kerajaan Islam terakhir di Turki. Beliau menggadaikan nyawanya untuk Islam sehingga akhirnya syahid di taligantung di zaman Jamal Abdul Nasser. Sejak itu gerakan Ikhwanul Muslimin berkembang hingga kini, dan HAMAS di Pelastine adalah sebahagian dari sayapnya.

Banyak lagi perkara yang harus kita lakukan, khasnya dalam menghadapi PRK Permatang Pasir, berikutan kematian ADUNnya, dijangka pengundian akan dijalankan pada 25 Ogos ini, dalam bulan Ramadhan yang mulia. Kita harus sama-sama bekerja dalam bidang masing-masing agar calon PR memenangi kerusi berkenaan. Dan jika kita menang, pastinya BN kalah untuk kesekiankalinya, barangkali untuk kali ke 7, kalau tidak silap. Kiat memerlukan perubahan, agar korupsi, amalan nepotisme, pemilikan kekayaan hanya kepada golongan tertentu dibenteras secukupnya. Kita mahukan hidup yang lebih baik dari yang ada kini. Sudah lebih 52 Tahun kita di bawah BN, keadaan tidak banyak berubah. Kalau dulu Allahyarham Tun Abd Razak, Hussein Onn, Tun Mahathir dan Abdullah Badawi menguasai politik, kini giliran anak-anak mereka pula menguasainya, seolah-olah politik negara ini boleh diwarisi, diwarisi atas nama demokrasi? Di negara lain, pasti politik yang memerintah sudah bertukar ganti, tetapi kita lebih setengah abad, masih di takuk lam juga. Apakah orang Malaysia tidak berani berubah atau tidak inginkan perubahan?

Sekurang-kurangnya kita sudah merasa sedikit nikmat dengan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, mengapa pula tidak di tempat lain? Bagaimana dengan Negeri Sembilan dan Melaka, Johor dan Pahang? Mengapakah Amerika begitu mudah bertukar pasti pemerintah, begitu juga Britain dan lain-lain, tetapi kita begitu sukar sekali sehingga terpaksa bergelut siang malam dengan komputer, dengan FRU dan bom pemedih mata, namun masih belum dapat mengembalikan keadilan sebenarnya seperti yang dikehendakki ramai? Inilah persoalan kita barangkali. Inginkan perubahan, tetapi takut untuk menanggung risiko. Namun kita menduga, bahawa PRU ke 13 adalah milik kita, Insyaallah. Sama-samalah kita berusaha untuk merealisasikannya. Marilah kita tukarkan impian ini menjadi kenyataan. Menjadi realiti.


AlKundangi,
14.8.2009.
http://alkundangi.blogspot.com

2 comments:

mohammad azren fooldog PH yg bahalol said...

Hentam je la Malim AlKundangi, nama si mati Teoh Beng Hock pun ko letak Beng Teong... dalam kepala asyik nak salahkan orang lain, rasa diri betul je sampai nama orang pun boleh salah. Mangkuk tahap tapir betul....

alkundangi said...

Terima kasih kerana sudi komen. Itu kesalahan kecil saja, tetapi satu nyawa melayang adalah satu kesalahan besar. Kanun Kesiksaan 302 menyebutkan bunuh di balas bunuh. Dalam Islam pun demikian jika cukup saksi dan bukti.

Terima kasih