ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Wednesday, August 19, 2009

Penjelasan TG Nik Abd Aziz Tentang Ahli UMNO Tak Masuk Syurga

“Ahli UMNO, penyokong dua perkataan berbeza”

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam, menjelaskan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan menyebut ahli UMNO tidak akan dapat masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam seperti yang dibawa oleh Palestin. Menteri Besar Kelantan itu berkata, apa yang beliau maksudkan ialah penyokong UMNO dan tidak kena mengena dengan Palestin seperti yang dilaporkan media arus perdana.

Beliau berkata, UMNO sebuah parti yang mengamalkan dasar sekular yang memisahkan antara agama dan politik oleh itu masyarakat Islam yang mengasingkan iman daripada Islam tidak akan masuk syurga. “Saya nak sebut mula-mula sekali selepas baca akhbar perdana hari ini ada perkataan Palestin, saya nafi sekeras-kerasnya Tidak ada perkataan Palestin Ini hanya nak lagakan saya dengan Palestin. “Yang kedua perkataan ahli UMNO, saya tak biasa guna ahli UMNO. Saya guna penyokong UMNO Ahli lain penyokong lain, dua perkataan berbeza,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Akhbar semalam, melaporkan Menteri Besar Kelantan itu berkata, anggota UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin. Beliau dipetik menyebut terdapat perbezaan antara Islam yang didakwah oleh Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota UMNO kerana Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Nik Abdul Aziz berkata, orang Islam yang mengasingkan iman dengan Islam mustahil masuk syurga dan sebab itu al-Quran menetapkan sebab ikhlas kerana ikhlas dan iman lebih kurang saja. “Saya akan bermesyuarat dengan peguam kerana cerita yang tokok tambah perkataan seperti ini. Saya tak kata Palestin dia kata Palestin. Biar peguam yang tentukan tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau menjelaskan Islam adalah komponen bagi iman kerana Islam mesti sebati dengan iman sebagaimana sebatinya di antara roh dengan jasad. Menurutnya, sejak Abdullah Ubai hingga ke zaman Mustapa Kamal Attartuk dan sehingga pada 1961, golongan ulama keluar menubuhkan Pas kerana puncanya UMNO mahu asingkan Islam dan iman. Menurutnya, berikutan perbezaan dasar jugalah menyebabkan Pas bertengkar dengan UMNO kerana parti itu mengamalkan agama lain dan politik lain. Sementara itu, Nik Abdul Aziz turut menyarankan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bertanyakan beliau terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan dan bukannya hanya menurut apa yang dikeluarkan akhbar. “Itu kerja dia... Seorang Mufti sebelum keluar kenyataan tanya saya dulu. Surat khabar arus perdana, surat khabar UMNO. Kalau dia nak buat kenyataan juga itu dia punya pasal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Harussani yang menyatakan tiada nas dalam al-Quran dan hadis mensyaratkan seorang itu perlu menjadi ahli sesebuah parti sebelum dijanjikan masuk syurga.


19.8.2009,
http://www.sinarharian.com.my

No comments: