ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, August 6, 2009

ISU ARAK DI SELANGOR: PAS vs DAP

OLEH KADIR JASIN

ADA dua isu pokok dalam desakan Pas Selangor kepada kerajaan campuran Pakatan Rakyat negeri itu agar melucutkan jawatan Exco Kerajaan Tempatan daripada wakil DAP, Ronnie Liu Tian Khiew, dan mengharamkan jualan bir di kawasan majoriti Muslim.Pertama, bukti campur tangan Liu dalam kegiatan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kedua perniagaan arak dalam kawasan majoriti orang Islam.

Cerita campur tangan Liu dalam operasi agensi-agensi penguatkuasaan terhadap kegiatan perjudian, hiburan dan arak bukanlah rahsia.Malah, seperti yang diadukan oleh Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Hassan Ali, Liu mengarahkan unit penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam memulangkan 70 tin bir yang dirampas daripada sebuah kedai runcit di Seksyen 8 dan memohon maaf kepada pekedai terbabit.Sebagai tindak balas, Pas mahu kerajaan negeri memasukkan bir dalam senarai arak yang diharamkan penjualannya di semua kawasan majoriti orang Islam.

Dua isu pokok yang saya maksudkan itu adalah pertama, meminum arak adalah hak orang bukan Islam dan perniagaan arak adalah antara kegiatan ekonomi eksklusif orang bukan Islam.Jadi adalah mustahil bagi Liu dan DAP tidak mempertahan penjualan arak. Inilah punca konflik antara Pas dan DAP. Masing-masing mempunyai ideologi dan alasan yang berbeza.Seperti pernah saya katakan iaitu lama sebelum Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan untuk memberi sedikit bantuan kepada kaum majoriti Bumiputera, orang bukan Islam sudah pun memonopoli ekonomi dan diperuntukkan beberapa sektor eksklusif seperti judi, arak dan ternakan babi. Ini belum diambil kira monopoli gula dan francais tertentu.

Sektor eksklusif ini pastinyalah tidak akan dilesenkan kepada orang Islam atau disertai mereka kerana kegiatan-kegiatan ini adalah haram.Tepati oleh kerana judi, arak dan hiburan berupa kegiatan yang digemari ramai maka daripada lesen yang diberikan itu muncullah syarikat judi raksasa seperti Genting (Mendiang Lim Goh Tong), Sports Toto (Vincent Tan), Tanjung PLC (Ananda Krishnan) dan Empat Nombor Ekor.Syarikat-syarikat ini pula memberi francais kepada puluhan ribu agen di seluruh negara yang semuanya bukan Islam. Begitu jugalah halnya dengan perniagaan arak dan ternakan babi.

Hatta apabila kerajaan memperkenalkan kegiatan ekonomi yang menepati syariah seperti perbankan Islam, takaful dan makanan halal pun, majoriti pelanggannya adalah orang bukan Islam kerana mereka menguasai bidang ekonomi.Jadi, manakala saya bersimpati dengan Dr Hassan, saya kurang yakin Menteri Besar PR Selangor yang mewakili PKR, Abdul Khalid Ibrahim, berani bertindak melucutkan jawatan Liu dan mengehadkan penjualan arak walaupun kerajaan negeri berhak ke atas pelesenan premis arak, judi, hiburan dan riadah.

Harus diakui bahawa Pas adalah rakan terkecil dalam kerajaan PR Selangor dengan hanya lapan kerusi Adun berbanding PKR 15 dan DAP 13.Lagipun bilangan wakil rakyat beragama Islam dalam kerajaan PR Selangor adalah lebih kecil daripada bukan Islam – 17 Islam lwn 19 bukan Islam.Namun Abdul Khalid dan DAP mungkin tidak akan menghampakan Pas memandangkan pada masa lampau Pas begitu komited mempertahankan rakan pakatannya seperti dalam kes gambar bogel Elizabeth Wong Keat Ping (PKR) dan kes kematian Teoh Beng Hock, pembantu khas Adun DAP Een Yong Hian Wah.Dalam pusingan pertama, Pas mengalah apabila ia bertolak-ansur dalam kes rumah sembelihan babi di Kedah atas tekanan wakil tunggal DAP, Lee Guan Aik walaupun majoriti Adun PR Kedah adalah Melayu dan Muslim.

http://kadirjasin.blogspot.com,
6.8.2009

No comments: