ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, August 6, 2009

KEMATIAN H1N1 MENINGKAT

Kematian akibat H1N1 meningkat kepada 12

KUALA LUMPUR - Bilangan kes kematian akibat Influenza A(H1N1) meningkat kepada 12 orang semalam, dengan empat kematian lagi termasuk tiga kanak-kanak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican berkata, ketiga-tiga kes kematian di Hospital Melaka berlaku dalam tempoh dua hari lepas.

Menurutnya, kematian pertama melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun yang mempunyai sejarah jangkitan saluran pernafasan kronik dan meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru teruk.

“Selain itu seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun dengan kegagalan buah pinggang kronik dan sedang menjalani rawatan dialisis juga meninggal dunia akibat jangkitan pneumonia teruk,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mangsa ketiga ialah seorang lelaki berumur 20 tahun yang menghidap kronik asma yang meninggal dunia juga kerana radang paru-paru teruk.

Di Johor Bahru, seorang budak lelaki berumur enam tahun meninggal dunia semalam juga selepas mengalami radang paru-paru, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kesihatan Johor, Dr Robia Kosai.

Beliau berkata, budak lelaki itu yang demam sejak beberapa hari lepas dihantar ibu bapanya mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta sebelum dimasukkan ke Hospital Batu Pahat apabila keadaannya semakin teruk.

Sementara itu, jumlah kes Influenza A(H1N1) sehingga 8 pagi semalam adalah 1,476 kes dengan 574 merupakan kes import dan 902 kes jangkitan tempatan.

Dr Ismail berkata 1,413 kes telah sembuh manakala 10 masih dirawat di ICU dan 28 lagi sedang menerima rawatan antiviral di wad isolasi.

Di Labuan, lapan kes baru jangkitan tempatan dilaporkan dan tiga lagi sekolah diarah tutup sejak semalam.

Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Zaini Hussin berkata dua kes itu masing-masing di Sekolah Kebangsaan Pekan, Sekolah Kebangsaan Pantai dan Sekolah Menengah Sains.

Pelajar yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Sains itu dikuarantin dan tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah.

Pengetuanya, Ali Deros berkata, pelawat termasuk ibu bapa dan saudara mara pelajar dilarang memasuki kawasan sekolah tersebut.


www.sinarharian.com.my
6.8.2009

No comments: