ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, January 4, 2011

Bunga-bunga persoalan awal politik tahun 2011

RAHMAN SHAARI

Persoalan politik tidak akan berakhir, kesemuanya dalam proses - diharapkan menuju keadaan lebih baik. Namun, sifat manusia adalah lalai, tsunami 2008 ialah akibat daripada kelalaian Barisan Nasional (BN). Sebelum itu BN tidak meletakkan rakyat di tempat utama, sekarang muncul slogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’. Jika rakyat dapat merasakan keikhlasan kerajaan dalam melaksanakan slogan itu, BN akan diterima baik semula.

Kekuatan pihak pembangkang juga demikian, mengalami proses yang berterusan. Keputusan pilihan raya 2008 menunjukkan pembangkang kuat, dalam pembicaraan politik di beberapa tempat, pembangkang juga menggunakan frasa ‘tsunami politik’ bagi melukiskan peristiwa 2008 itu. Pada fikiran rakyat secara umumnya, tsunami ialah bencana, dan bencana amat digeruni. Jika sesiapa berasa gerun dengan bencana, maka pilihan raya yang akan datang menghasilkan keputusan berbeza daripada 2008.

Ada pihak meramalkan 2011 tahun pilihan raya ke-13. Ramalan itu bersandarkan pada beberapa alasan; pertama, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu membuktikan beliau Perdana Menteri diterima rakyat. Beliau ialah Perdana Menteri yang memperoleh jawatan kerana Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan. Jadi, pilihan raya ke-13 perlu dipercepat demi pengukuhan penerimaan rakyat.

Alasan kedua, konsep 1Malaysia kelihatannya diterima umum walaupun ada kritikan terhadap konsep itu diada-adakan. Konsep itu munasabah, bahkan selama ini pun kita merasakan rakyat Malaysia perlu bersatu padu dalam banyak hal. Kita telah lama merdeka, tetapi masalah penggunaan Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia pun tidak selesai. Tiada negara di dunia ini menghadapi masalah bahasa hingga sejumlah ‘pejuang’ berarak di sana sini untuk memperkukuh penggunaan bahasa.

Titik tolak bicara kali ini ialah bahawa persoalan politik tidak akan berakhir. Jadi, biarpun apa-apa yang dikatakan orang tentang sesuatu isu, pihak yang menjaga rakyat perlu memilih jalan terbaik.

Saya sebenarnya tidak bersetuju dengan perjuangan bahasa di jalan raya. Itu menunjukkan keadaan bahasa kita teruk, padahal yang menjaga negara ini ialah pemimpin-pemimpin amat akrab dengan bahasa kita. Maksud saya, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kita mengenali dan menguasai Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia sebagai bahasa natif, bukan bahasa kedua. Sebagai penutur asal Bahasa Melayu/ Bahasa Malaysia, pemimpin eloklah memaparkan kecintaan terhadap bahasa ini, maka rakyat akan menghargainya.

Kecintaan terhadap Bahasa Melayu/ Bahasa Malaysia tidak semestinya membawa makna kurang sayang kepada Bahasa Inggeris. Kita boleh menyayangi sejumlah bahasa, tiada masalah. Seseorang yang menguasai Bahasa Inggeris akan mendapat tempat lebih baik di Malaysia, malah di dunia. Oleh itu, Bahasa Melayu/Malaysia jangan dipertentangkan dengan Bahasa Inggeris, letakkan masing-masing pada tempat sesuai di dalam kotak-kotak di akal fikiran.

Perhatikan, semua yang dibicarakan di atas, walaupun sepintas lalu bukan persoalan politik, tetapi jika intinya politik. Hal ini akan difahami apabila kita mengupasnya dengan teliti.

Pelantikan Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai Pengerusi Felda diharapkan dapat memperkuat sokongan di kalangan peneroka Felda terhadap kerajaan. Isa menyatakan hasratnya untuk berusaha bagi mencapai hasrat asal Felda diperkenalkan. Berbagai-bagai pandangan telah disuarakan oleh beberapa pihak tentang pelantikan tersebut, namun secara umum, pelantikan itu terasa amat sesuai. Sifat utama Isa ialah mudah mesra dan jawatan diserahkan kepadanya ini amat cocok baginya. Isa jarang kelihatan terlalu menjaga status dalam erti membezakan pemimpin daripada rakyat biasa. Beliau ialah ular yang menyusur akar (tidak hilang bisanya).

Tahun 2011 juga tersedia untuk memaparkan babak-babak yang berkaitan dengan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK Selangor. Pelantikan itu mendapat pekenan Sultan Selangor, dan muktamad. Majlis angkat sumpah akan diadakan. Pelantikan ini menjadi isu, kerana timbul anggapan oleh pihak Menteri Besar Selangor bahawa caranya tidak profesional. Mengapakah ini berlaku? Jawapannya mudah: persoalan politik tidak akan berakhir!

Terdapat beberapa percikan propaganda politik bertolak daripada pelantikan ini. Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor, mengatakan Ketua Setiausaha Negara (KSN) membelakangkan proses pemilihan ditetapkan mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam. Polemik ini menjadi bahan percakapan di mana-mana. Timbul pula isu berekoran. Isu ini kelihatan berat apabila Pengerusi GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) Selangor, Mohd Faizal Mohd Salleh menyatakan, badan itu akan menjadi benteng kepada institusi kesultanan Selangor. Faizal menjawab teguran keras Shuhaimi Shafiei, ADUN Seri Muda yang menyebutkan institusi kesultanan akan berhadapan dengan Gelombang Rakyat. (Sinar Harian, 2 Januari 2011).

Apa disebutkan di atas hanyalah bunga-bunga persoalan. Masih ada bunga lain, misalnya kemunculan semula suara kritikan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim terhadap Datuk Seri Dr Mohd Isa Sabu, Menteri Besar Perlis. Pembaca sekalian akan mendapati bunga-bunga ini akan menjadi buah-buah tidak lama lagi. Selaku pemerhati politik, dan selaku rakyat konkrit, segala-gala ini janganlah terlalu dibimbangi, kerana persoalan politik memang begitu, bersambung-sambungan sampai bila-bila.

sinarharian.com.my

No comments: