ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, January 4, 2011

MB Selangor boikot angkat sumpah SUK

SHAH ALAM - Sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara Kerajaan Negeri Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Kerajaan Negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, beliau juga tidak akan menghadiri upacara mengangkat sumpah oleh Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK yang baru dijadualkan 6 Januari ini.

“Ini bermakna Datuk Mohd Khusrin Munawi (SUK yang baru) tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, walaupun Mohamad Khusrin masih tidak boleh menghadiri Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, banyak tugas lain yang perlu dilaksanakan oleh SUK.

"Antaranya mengurus dan memantau perjalanan pejabat-pejabat daerah di Selangor, menyelesaikan masalah tanah dan menulis laporan bagaimana untuk menyelesaikan masalah kewujudan pusat-pusat spa dan kafe Internet yang tidak berlesen," katanya.

Beliau berkata, antara sebab Mohd Khusrin tidak boleh menghadiri Majlis Mesyuarat Exco kerana perbincangan dalam mesyuarat itu adalah rahsia.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut.

Ditanya sama ada usaha Kerajaan Negeri mahu mengadakan sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mengukuhkan kuasa Raja-Raja, beliau berkata: “Sebenarnya kami sedang memperkasakan negeri. Saya fikir adalah amat penting memperkasakan negeri.”

Sehingga kini, Abdul Khalid belum berjumpa dengan Mohd Khusrin meskipun bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu melaporkan diri pagi semalam.

sinarharian.com.my

No comments: