ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, August 29, 2009

ISU ROTAN KARTIKA: BN DIPERANGKAP" NEGARA ISLAM" CIPTAAN SENDIRI

Isu rotan Kartika: BN diperangkap 'negara Islam' ciptaan sendiri


KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Di tengah-tengah kekecohan berhubung hukuman rotan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno, terdedahlah kelemahan kerajaan Barisan Nasional melalui sikap berdolak-daliknya dan hipokrasi dalam pelaksanaan undang-undang syariah.

Selasa lalu Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menggesa Kartika, yang didapati bersalah kerana minum arak, supaya merayu hukuman enam sebatan yang perlu dihadapinya.

Tindakan beliau dilihat dibuat kerana kebimbangan kerajaan selepas dikejutkan dengan liputan meluas media antarabangsa berkenaan kes itu, yang sudah tentu akan menjejaskan imej keterbukaan pentadbiran sekarang yang cuba diketengahkannya.

Pada sebelah malamnya pula, hanya beberapa minit sebelum berbuka puasa, Najib bangkit setapak lagi meminta pihak berkuasa agama supaya tidak mengutamakan hukuman rotan.

Hukuman fizikal sepatutnya menjadi pilihan terakhir, kata beliau yang mungkin telah menyedari Kartika tidak akan merayu hukuman rotannya itu.

Pada hari yang sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi penjelasan mengapa Kartika yang sepatutnya sejak Isnin lalu dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman rotan, dihantar semula pulang.

Beliau memberitahu sidang akhbar bahawa kakitangan penjara tidak ada kepakaran merotan menurut peruntukan undang-undang syariah yang mensyaratkan rotan tidak diangkat mengatasi kepala.

Hishammuddin dilaporkan berkata, keperluan Jabatan Penjara yang di bawah seliaannya untuk melaksanakan hukum sebat mengikut undang-undang Syariah merupakan satu perkara baru dan mustahil untuk dilaksanakan tanpa pengalaman.

Tambahnya lagi kaedah hukuman itu akan dikaji secara mendalam oleh pegawainya dengan pihak berkuasa agama untuk memastikan keadilan.

Tindakan beliau itu satu lagi usaha untuk menjarakkan kerajaan persekutan daripada hukuman rotan itu kerana bimbang dengan implikasi hukuman tersebut di peringkat antarabangsa.

Kartika telah berjaya menarik simpati media dengan keputusannya untuk menerima hukuman itu dan turut meminta supaya dirotan di tempat awam, lantas berjaya dilihat sebagai mangsa.

Hakikatnya kerajaan BN telah terperangkap dalam usahanya untuk menunjukkan ia lebih mempunyai kelayakan Islam daripada PAS.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga jelas tidak gembira dengan hukuman rotan itu dalam catatan terbaru blognya.

Tahun ini kita akan sambut Hari Merdeka dengan menyebat seorang wanita Melayu kerana minum beer, kata Dr Mahathir dalam nada sinis.

Beliau jelas bimbang parti yang diketuainya selama lebih dua dekad kini cuba mengikuti rentak PAS dan kehilangan jati diri yang dipertahankannya sebelum ini.

Anehnya Dr Mahathirlah yang sebelum ini memulakan permainan berlumba-lumba menunjukkan pentadbirannya lebih Islami berbanding PAS.

Hampir dua tahun selepas pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan kemenangan beberapa kerusi baharu PAS di Selangor dan Perak beliau membuat perisytiharan bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam.

Pengumuman itu dibuat sebagai menyahut cabaran Presiden PAS ketika itu Almarhum Datuk Fadzil Noor.

Walaupun Dr Mahathir dalam pengumuman pada tahun 2001 itu semasa mesyuarat agung Gerakan sebenarnya cuba membentuk sendiri dan merampas definisi negara Islam, tetapi ia ditafsir banyak pihak sebagai langkah ke arah pelaksanaan undang-undang Islam dalam pentadbiran negara.

Penggantinya pula Tun Abdullah Ahmad Badawi menyambung tradisi itu dengan memperkenalkan Islam Hadhari.

Hari ini melalui kes Kartika, kerajaan BN terperangkap dalam jerat "negara Islam" yang dipasangnya sendiri.


http://kedahlanie@blogspot.com/
29.08.2009

No comments: