ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, August 27, 2009

SURAT-SURAT MARYAM JAMEELAH-MAUDUDI (II)

SURAT MARYAM JAMEELAH - MAUDUDI (II) New York,
5 Disember,1960
Yang Mulia,
Maulana AlMaududi,


Rencana gemilang anda berjudul "Hidup Selepas Mati" termuat dalam majalah The MuslimDigest ,Durban, Afrika Selatan ,bil. Februari,1960 merupakan sebuah rencaa terbaik dan paling meyakinkan yang pernah saya baca mengenai topik tersebut.

Pertama kali saya baca mengenai diri anda ialah dalam rencana ditulis oleh Mazharuddin yang terkandung dalam "Islam The Straith Path (susunan Kenneth Morgan, Ronald Press, New York,1958).Rencana itu menulis tentang umat Islam di Pakistan. Walaupun penulisnya seorang modenis ideal yang telah mengulas diri anda dengan kata-kata yang menghina, namun saya merasa benar-benar bersimpati dengan matlamat perjuangan anda.


Di tahun yang silam saya telah menetapkan azam untuk menyerahkan hidup saya kepada perjuangan menentang falsafah-falsafah kebendaan, sekularisme dan nasionalisme yang masih bersemarak di dunia hari ini, yang bukan sahaja mengancam survival Islam, malah mengancam seluruh umat manusia. Dengan matlamat sedemikian dalam kepala saya , saya telah pun menulis berbagai-bagai rencana, enam di antaranya tersiar dalam majalah The Muslim Digest dan majalah The Islamic Review terbitan Woking, England.

Rencana saya yang pertama berjudul "Sebuah Kritik Terhadap Islam In The Modern History" karangan Professor Wilfred Cantwell Smith Pengarah The Islamic Institute di University McGill, Montreal. Dalam rencana itu saya sangkal pendapatnya satu demi satu, yang mengatakan bahawa sekularisme dan meniru cara hidup Barat (westernisation) adalah sesuai dengan Islam dan bahawa reformasi-reformasi yang dicetuskan oleh Mustafa Kamal Attartuk merupakan contoh-contoh yang baik untuk ditiru oleh negara-negara Islam lainnya.

Rencana saya yang kedua berjudul "Nasionalisme Mengancam Perpaduan Islam, di mana saya membuktikan betapa tidak cocoknya konsep nasionalisme moden dengan konsep Islam sejagat ataupun konsep persaudaraan Islam.

Rencana saya yang ketiga termuat dalam majalah The Muslim Digest bil. Ogos,1960. Rencana ini merupakan sanggahan terhadap pendapat-pendapat Tuan Asaf A Fayzee, Naib Cansellor Universiti Kashmir yang mengusulkan supaya Islam dibaratkan, direformasikan dan dijadikan suatu agama yang liberal sehingga kepada darjah Islam itu tidak lagi merupakan satu agama, malah merupakan pernyataan-pernyataan akhlak yang kosong dan tidak punya pengaruh lagi untuk mmembentuk masyarakat dan kebudayaannya.

Lain-lain rencana adalah dituju untuk membangkang tulisan Zia Golkap seorang ahli masyarakat Turki yang cuba mengabui mata pembaca-pembacanya supaya mempercayai bahawa nasionalisme dan sekularisme adalah tidak bertentangan dengan Islam (dari pendapat beliaulah Kamal Attartuk mendapat ilhamnya).

Tulisan-tulisan saya itu juga menentang sikap Sir Syed Ahmad Khan yang mendewa-dewakan sains dan falsafah Eropah abad ke 19, menentang pendapat Tuan Ali Abdul Razak di dalam bukunya “Islam dan Prinsip-Prinsip Perlembagaan” yang dikarang selepas sahaja dimansukhkan Khalifah Othmaniah. Beliau cuba menyarankan bahawa agama mestilah dipisahkan secara total dan buat selama-lamanya dari negara, juga menentang Presiden Habib Bourgiba kerana pada tahun yang lepas beliau telah mengecam puasa bulan Ramadhan sebagai bertanggungjawab menghalang kemajuan ekonomi Tunisia, seterusnya menentang Dr Taha Hussain, seorang intelek dan pengarang buta Mesir yang telah menulis dalam bukunya “Masa Depan Kebudayaan Mesir” bahawa negeri Mesir merupakan sebahagian dari Eropah dan oleh kerana itu perlu ditegakkan hidup secara Barat dan dipisahkan agama dari negara.

Sekularisme hari ini, juga nasionalisme dan materialisme adalah diambil dari ahli-ahli falsafah yang telah merangsang revolusi Peranchis seperti Voltaire, Rousseau, Monstesquieu dan lain-lain. Mereka adalah penentang-penentang agama yang fanatik dan merekalah yang bertanggungjawab terhadap kepercayaan bahawa manusia boleh maju dan mencapai keselamatan abadi tanpa Tuhan.

Anggapan yang keliru ialah manusia tidak perlu bergantung kepada Tuhan dan kemajuan kebendaan dalam kehidupan dunia merupakan tujuan utama dari perjuangan hidup umat manusia. Tanpa wujudnya suasana anti agama yang menjahanamkan itu, maka ajaran-ajaran Marxisme, Facisme, Nazisme, Pragmatisme (yang dipertahankan oleh John Dewy) dan dan Zionisme (yang telah mengakibahkan tragedi Plastine) tidak akan bertunjang subur. Saya merancang untuk menulis satu rencana lain mengenai hal ini dengan lebih terperinci.

Mungkin anda tertantanya-tanya siapakah saya. Saya adalah seorang wanita Amerika dalam usia 26 tahun, saya begitu berminat kepada Islam sebagai agama harapan dunia dan keinginan saya telah bulat untuk memeluk agama itu. Yang menjadi masalah yang besar kepada saya ialah di Pinggir Kota New York tempat kediaman saya itu hampir-hampir tidak terdadapat seorang Muslim pun, kerana itu saya merasa begitu terpencil. Inilah sebabnya bila saya melihat rencana anda di dalam The Muslim Digest, saya terus menulis kepada pengarangnya untuk mendapatkan alamat anda dengan harapan anda dapat mengadakan hubungan surat-menyurat dengan saya. Besarlah harapan saya jika anda dapat mengirimkan contoh-contoh karangan anda terutama rencana yang ditulis oleh anda beberapa tahun yang lampau dengan judul “Proses Revolusi Islam.” Oleh kerana kita mempunyai cita-cita yang sama , maka sukacitalah saya untuk menikmati perhubungan dengan anda dan untuk membantu perjuangan anda sekadar yang terdaya oleh saya.


Yang Benar,

Margaret Marcus.

http://alkundangi.blogspot.com
26.08.2009.

No comments: