ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, August 29, 2009

PM BIMBANG KRISIS MCA

PM bimbang krisis MCA

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bimbang krisis dalaman yang dihadapi MCA ketika ini boleh memberi kesan langsung kepada Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, beliau mahu MCA mengambil langkah terbaik bagi mengatasi isu tersebut sebelum rakyat bertindak menolak parti berkenaan.
Beliau berkata, kedua-dua belah dalam MCA pihak harus meletakkan kepentingan BN sebagai perkara paling utama supaya krisis tersebut tidak berpanjangan.

''Perkembangan ini amat membimbangkan saya dan oleh itu, saya berharap kedua-dua pihak memikirkan tentang kepentingan BN.

"Jangan sampai krisis ini nanti menyebabkan masyarakat dan pengundi menolak parti MCA dan memberi implikasi kepada BN.

"Penyelesaian pada krisis MCA ini adalah penting bagi kepentingan BN. Lebih cepat diselesaikan lebih baik,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat pertama Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan enam bahagian MCA di Johor yang mendesak Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat berhenti sementara daripada menjalankan tugas-tugas jawatan itu sehingga beberapa isu berkaitan beliau diselesaikan.

Desakan itu adalah rentetan daripada krisis kepimpinan MCA apabila Majlis Presiden menerima cadangan Jawatankuasa Disiplin parti untuk memecat keahlian Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkuat kuasa serta-merta kelmarin.

Mengulas lanjut, Najib berkata, BN amat memerlukan MCA yang kuat dan mampu membawa aspirasi kaum Cina dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Dalam perkembangan sama, beliau tidak menolak kemungkinan krisis dalaman MCA itu memerlukan perantara untuk membantu menyelesaikannya, setelah kedua-dua pihak berkeras dengan pendirian masing-masing.

Bagaimanapun, Najib tetap tidak akan campur tangan dalam soal pemecatan Soi Lek kerana berpendapat ia urusan dalaman parti itu.

''Saya kena patuh pada prinsip dalam BN bahawa soal dalaman termasuk disiplin adalah hal dan budi bicara sesebuah parti komponen BN,'' katanya.

Mengenai kemelut politik di Terengganu, beliau berkata: ''Kita sedang berusaha mententeramkan keadaan.'' -Utusan.

No comments: